SHAH ALAM – Aduan penduduk Taman Suria, Bestari Jaya, berikutan wujudnya pencemaran dari kilang pembuat sarung tangan getah berhampiran kawasan perumahan mereka akan di ambil perhatian yang sewajarnya.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefli Ahmad berkata, pihaknya berharap masalah ini tidak diambil kesempatan pihak lawan bagi tujuan politik, tetapi berharap semua pihak dapat membantu menyelesaikan aduan tersebut.
Beliau menasihatkan pihak terlibat menyelesaikan masalah ini secara profesional melalui maklumat dan ujian yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (Jas) bukan secara emosi atau politik.
Menurutnya, tiada tindakan diambil ke atas kilang tersebut kerana ia memenuhi semua syarat-syarat yang ditetapkan Jas.
“Kilang itu telah mematuhi syarat kawalan air, iaitu tidak melepasi 200 partikel air per milion (PPM) dengan hanya kualiti air terkini 10 PPM. Begitu juga dengan purata pembebasan gas iaitu 10 PPM berbanding 200 PPM yang ditetapkan Jas,” katanya.
“Pencemaran didakwa penduduk hanya dilihat melalui mata kasar tetapi secara saintifiknya pihak kilang telah memenuhi syarat sepenuhnya,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya akan tetap mendengar aduan penduduk dan akan menyelesaikan masalah mereka melalui perbincangan semua pihak.
“Kita bercadang untuk berbincang masalah ini dengan semua pihak, iaitu penduduk, pihak pengurusan kilang, Majlis Daerah Kuala selangor (MDKS), Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Kerajaan Pusat.
Katanya, tindakan lebih drastik seperti penutupan kilang tidak boleh dilakukan kerana secara dasar kilang dibina terlebih dahulu sebelum kewujudan Taman Suria Bestari Jaya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak yang meluluskan pembinaan kawasan perumahan itu walaupun berhampiran dengan kawasan kilang.
Katanya lagi, selain kilang tersebut beberapa kilang lain yang menghasilkan fibre board (habuk) dan menggunakan longkang yang sama untuk proses pembuangan sisa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan