Selasa, 2 November 2010

Chegu Bard mendahului untuk Ketua AMK


bard shamsul-Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Persaingan jawatan tertinggi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pusingan pertama menyaksikan Badrul Hisham Shaharin atau juga dikenali sebagai Chegu Bard mengatasi pesaingnya Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan kelebihan 104 undian.

Setelah tamat pengundian untuk hari ketiga pusingan pertama semalam Chegu Bard telah memperolehi 1,123 undi berbanding Shamsul yang memungut 1,029 undi.

Manakala bagi jawatan nombor dua sayap parti itu pula, sehingga hari ketiga pengundian Khairul Anuar Ahmad Zainuddin memungut 1,214 undian mendahului YB Chang Lih Kang yang meraih 833 undian.

Pengundian akan disambung semula pada 6 dan 7 November minggu hadapan di 20 cabang di Sabah setelah ditangguhkan bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada Pilihan Raya Kecil Batu Sapi.

Persaingan terbuka di Sabah Minggu Hadapan

Calon-calon yang mendukung manifesto Anak Muda Penerus Momentum Reformasi pimpinan Chegu Bard dan kumpulan Reformasi 3.0 pimpinan Shamsul dijangka akan menerima sokongan agak seimbang dari pengundi Negeri Bawah Bayu itu.

Persaingan terbuka di Negeri Bawah Bayu itu dilihat tidak memberikan kelebihan ketara kepada mana-mana calon melainkan faktor ’sentuhan’ yang dibuat dalam sepanjang kempen dijalankan.

Chegu Bard dijangka akan mengambil peluang untuk menjarakkan diri dari pesaingnya itu apabila baki cabang-cabang di negeri Utara khasnya dan Wilayah Persekutuan mengadakan Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bermula 12 November ini.

Shamsul merapatkan jurang undi

Bagaimanapun Shamsul turut berpeluang untuk mengatasi Chegu Bard dengan memberikan tumpuan di beberapa negeri di Semenanjung khususnya negeri Selangor yang akan mula mengundi pada 13 November ini.

Sebelum ini, beberapa pemerhati menyebut Shamsul sebagai mempunyai ’sentuhan istimewa’ dari pemimpin negeri itu yang dikatakan mampu membantu meraih undi di pihak Shamsul.

Pengundi di Selangor dianggap penentu

Bagi sesetengah calon yang bertanding dalam Pemilihan MPP ini, pola pengundian di negeri ini boleh dianggap sebagai ‘killer’ apabila pengundi-pengundi di negeri ini dianggap sebagai penentu nasib mereka.

Jumlah pengundi yang bakal keluar mengundi dijangkakan meningkat di beberapa negeri, terutama bagi negeri Selangor yang mempunyai jumlah keahlian yang tinggi.

Selain itu, enam dari 22 cabang di Selangor yang diarahkan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) semula turut menjadi faktor pendorong pemimpin-pemimpin peringkat cabang untuk menarik lebih ramai ahli keluar mengundi.

Reformasi 3.0 berkelebihan di Melaka

Sementara itu, kumpulan Reformasi 3.0 itu turut dijangka akan cuba meraih sokongan maksima daripada baki dua cabang di Melaka, Kota Melaka dan Jasin yang akan mengadakan Pemilihan MPPnya pada 13 November ini.

Sebelum ini, maklumat dari satu sumber yang rapat dengan kumpulan Reformasi 3.0 memberitahu usaha untuk membawa keluar seberapa ramai pengundi di negeri itu sedang giat dijalankan.

Dua calon jawatan tertinggi AMK daripada kumpulan Reformasi 3.0 yang merupakan pemimpin AMK kelahiran negeri bersejarah ini sedikit sebanyak bakal membantu untuk meraih undi.

Pola pengundian secara keseluruhan kali ini dianggap lebih sukar untuk ‘dibaca’ berikutan sistem ’satu ahli, satu undi’ yang melibatkan keseluruhan ahli parti berbanding sistem perwakilan yang diamalkan sebelum ini

Tiada ulasan: