Jumaat, 27 Ogos 2010

Saman : Maria Tunku Sabri Tidak Terlintas Kahwin Datuk

KUALA LUMPUR: Personaliti TV3, Maria Tunku Sabri,40, menjelaskan dia sedikit pun tidak terlintas untuk berkahwin dengan Datuk Wan Johani Wan Hussin (gambar) dan sama sekali tidak pernah memaksa ahli perniagaan itu untuk berkahwin dengannya.

Maria berkata, selama ini ramai yang beranggapan samannya terhadap Wan Johani yang bermula sejak 2004 dilakukan kerana lelaki itu telah mungkir janji untuk mengahwininya.

Sedangkan katanya, saman itu melibatkan perjanjian ganti rugi penyelesaian yang dipersetujui oleh kedua pihak berhubung perjanjian RM5.5 juta.

“Saya tidak memaksa beliau (Wan Johani) untuk berkahwin dengan saya. Malah, saya juga tidak mahu berkahwin dengannya. Saya mahu membetulkan persepsi orang terhadap saya,” kata bekas pengacara Jalan-Jalan Cari Makan itu pada sidang media pertamanya berhubung kes tersebut.

Personaliti televisyen itu, memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan di sini Jumaat, selepas tewas dalam saman sivilnya terhadap seorang ahli perniagaan, Datuk Wan Johani Wan Hussin berhubung perjanjian RM5.5 juta bagi membetulkan tanggapan salah terhadapnya sebelum ini.

Peguam Rozy Chazriani Beddu yang akan mewakili Maria dalam prosiding mahkamah seterusnya pula memberitahu, notis rayuan telah difailkan pada pagi Khamis di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.

Maria Tunku Sabri. - Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN

Maria seterusnya mendakwa, tindakan undang-undang diambil kerana terdapat hitam putih yang menyatakan Wan Johani akan membayar RM5.5 juta menerusi dua kali pembayaran sebagai ganti rugi dalam perjanjian penyelesaian selepas kedua mereka bersetuju perkahwinan itu tidak akan terjadi.

Dakwanya lagi, Wan Johani, 57, yang juga telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak perempuan juga telah menerap (stamp) perjanjian tersebut.

Tanpa berselindung, Maria juga mengakui bahawa kes tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepada keluarganya. Maria merupakan isteri kepada Ahmad Nazri Abd Malek dan mempunyai dua orang anak yang berusia 12 dan tiga tahun.

“Saya bersyukur diberikan keluarga yang memahami dan memberikan sokongan kepada saya,” tambahnya.

Maria memfailkan notis itu selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datin Zabariah Mohd Yusof pada 30 Julai lalu menolak saman itu dengan kos RM10,000 selepas berpuas hati status Maria selaku wanita Islam yang berkahwin tidak berada dalam kapasiti yang membolehkan dia melibatkan diri dalam perjanjian tersebut.

Kes tersebut telah sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan yang pada 24 Mac 2009 membuat keputusan membenarkannya untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan mengemukakan semula saman sivil itu.

Tiada ulasan: