Rabu, 11 Ogos 2010

Pulangkan jalan raya kepada mereka yang berbeza pendapat!

MERDEKA REVIEW

Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Writers Alliance for Media Independence (WAMI) dan Jawatankuasa Masyarakat Madani Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menegur polis kerana menindas aktiviti pengedaran risalah kempen memprotes kenaikan harga barang di pasar malam Kampung Kerinchi dan menahan Timbalan Ketua Pemuda AMK Batu Rozan Azen dan Penyelaras Suaram Tah Moon Hui. Tindakan ini telah mencabul kebebasan rakyat untuk berhimpun dan bersuara, malah menunjukkan bahawa rancangan kerajaan merasionalkan pengurangan subsidi bukan sahaja menolak suara rakyat, tetapi juga bertentangan dengan harapan dan tuntutan masyarakat.

Menurut Seksyen 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, setiap rakyat mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan aman, Seksyen 20(1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat pula menerangkan bahawa kebebasan rakyat berhimpun secara aman harus dijamin. Sebagaimana yang kami perhatikan, selepas Najib Razak menjawat jawatan Perdana Menteri, banyak demonstrasi telah ditindas dan dilabelkan sebagai "perhimpunan haram", polis telah menyalahgunakan kuasa dan menahan rakyat yang mempraktikkan hak mereka. Semua ini adalah piawai penting bagi menguji keazaman kerajaan melaksanakan pembaharuan (reforms).

Kami berpendapat, orang-orang berkuasa yang memiliki media atau menentukan isu-isu harian tidak perlu menunjuk perasaan di jalan raya; kroni-kroni pakatan politik-bisnes yang kepentingan mereka terjaga dan kukuh pula tidak perlu menunjuk perasaan di jalan raya.

Bagaimanapun, bagi golongan-golongan terpinggir dan orang berbeza pendapat yang tidak berkuasa, menyertai perhimpunan dan perarakan selalunya satu-satu peluang bersuara mereka. Oleh itu, menghadkan atau mencabul hak berhimpun dan berarak "kelas bawahan yang berbeza pendapat" akan menyebabkan mereka tidak dapat berdemonstrasi di jalan raya dan satu-satunya saluran bersuara mereka secara berkesan hilang. Jelas, tindakan ini menafikan hak daulat rakyat dalam hal-ehwal Negara.

Untuk membina satu ruang masyarakat yang benar-benar menghormati hak-hak perlembagaan, Akta Polis harus mempertahankan kebebasan rakyat berhimpun dan berarak, bukanlah menindas suara rakyat dengan melaksanakan sistem permit yang memerlukan kelulusan polis. Kami menggesa kerajaan memandang serius saranan demokratisasi masyarakat dan memansuhkan seksyen 27 Akta Polis 1967.

*Kenyataan media bersama, oleh Liau Kok Fah (Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor), Wong Chin Huat (Pengerusi Writers Alliance for Media Independence, WAMI), dan Tang Kwai Fun (Ketua Jawatankuasa Masyarakat Madani Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG).

Tiada ulasan: