Selasa, 24 Ogos 2010

Petisyen 'Vui Kong' diserahkan esok

Susan Loone

Usaha untuk mendapatkan 100,000 tandatangan dalam surat rayuan supaya hukuman mati yang dijatuhkan ke atas rakyat Sabah, Yong Vui Kong diringankan hampir menepati sasarannya.

Peguam Yong, M Ravi (kanan) dan penyelaras kempen 'Selamatkan Vui Kong', Ngeow Chow Ying akan menyerahkan petisyen dan tandatangan berkenaan esok kepada presiden Singapura, SR Nathan.

Menurut Ngeow, setakat jam 6 petang esok, 96,622 tandatangan berjaya dikutip sejak petisyen dilancarkan bulan lalu.

Daripada jumlah itu, 29,172 tandatangan diperolehi menerusi online, manakala 40,138 dari Sabah, 25,112 dari Semenanjung Malaysia dan 2,200 dari Singapura.

Ngeow, yang juga seorang peguam berkata, tandatangan yang diterima itu termasuk dari 44 ahli parlimen dan 15 senator.

Katanya, kempen tandatangan berkenaan akan diteruskan sehingga presiden Singapura membuat keputusannya.

Y
ong, 22, dari Sabah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana mengedar 47gm dadah kawalan jenis diamorphine pada 2007.

Rayuannya yang difail pada 1 Dis tahun lalu telah ditolak.Jika presiden Singapura enggan campurtangan, Yong dijadualkan digantung pada 26 Ogos ini.

Tiada ulasan: