Jumaat, 27 Ogos 2010

Pemandu bas ekspres terbunuh, tiga parah

BERNAMA

KAMPAR: Seorang pemandu bas ekspres terbunuh manakala tiga cedera parah dan enam cedera ringan apabila bas yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di KM306.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Abdul Aziz Salleh, berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian 7.50 malam tadi itu ialah Adnan Abu Hasan, 54, berasal dari Pangsapuri Sri Kepayang, Jalan Ghazali Jawi, Ipoh.

"Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat," katanya ketika di hubungi hari ini.

Beliau berkata, tiga yang cedera parah, Nurul Afzah Sallehuddin, 23, Nurshaidah Musa, 24, kedua-duanya dari Kuala Lumpur dan Nor Ahmad Abdul Rahman, 30-an berasal dari Selayang, Selangor.

Nurul Afzah dan Nurshaidah yang patah hidung dan dirawat di Hospital Tapah telah dibenarkan pulang ke rumah malam tadi manakala Nor Ahmad yang patah kaki kiri masih di rawat di Hospital Tapah.

Enam orang yang cedera ringan diberi rawatan sebagai pesakit luar di hospital tersebut.

Nahas berlaku apabila bas ekspres tersebut yang membawa 43 penumpang dari Ipoh ke Kuala Lumpur merempuh belakang sebuah lori di hadapannya.

Berikutan itu, bahagian depan bas tersebut remuk teruk dan pemandu tersepit di celah kedua-dua kenderaan dan pasukan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa.

"Siasatan awal mendapati bas tersebut dipandu laju ketika menurun bukit selain jalan licin selepas hujan menyebabkan gagal dikawal lalu merempuh belakang treler membawa muatan serpihan tayar," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dituntut oleh keluarganya pagi ini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan di Ipoh.

Sementara itu, seorang penumpang Mohd Imran Saiful Azman, 20, pelajar sebuah sekolah swasta di Manjung berkata, pemandu bas dilihat memandu dengan laju ketika menuruni bukit dan sampai di tempat kejadian lalu merempuh belakang lori di hadapan.

"Semua penumpang kemudian keluar melalui pintu kecemasan yang dibuka dari luar oleh anggota PLUS," katanya.

Ketika kejadian, pelajar itu yang tidak mengalami kecederaan bersama dua rakannya dalam perjalanan balik ke rumahnya di Ampang, Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: