Selasa, 17 Ogos 2010

MPSJ Tambah Peruntukan Jayakan Program Basmi Kemiskinan

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

SUBANG JAYA – Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) Kerajaan Negeri tidak mungkin mencapai matlamatnya sekiranya tiada sokongan padu daripada semua pihak khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ini termasuk usaha membasmi kemiskinan dalam bandar yang sejak mutakhir ini ketara peningkatannya susulan kos sara hidup tinggi dan persaingan ekonomi yang kompetitif menyebabkan wujudnya golongan sasar yang perlu dibantu keluar daripada kelompok kemiskinan.

Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) antara PBT di Selangor yang mendahului usaha ini menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) sebagai tanggungjawab sosialnya kepada golongan yang memerlukan.

Bagi tujuan itu, MPSJ mengambil inisiatif dengan menambah peruntukan program ini kepada RM300,000 pada tahun ini berbanding RM100,000 pada 2009 bagi merancakkan lagi pelbagai aktiviti kepada kumpulan sasar dengan lebih berkesan seperti seminar keusahawanan, latihan dan kursus kemahiran.

“Sebanyak 5 Zon Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPSJ telah dipilih sebagai projek perintis di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar MPSJ untuk tahun 2010. Setiap zon tersebut diperuntukkan sejumlah RM30,000 untuk melaksanakan aktiviti yang telah dirancang. Zon JKP yang terlibat ialah JKP Zon 5 (Bengkel Menjahit), JKP Zon 12 (Bengkel Automotif), JKP Zon 15 (Bengkel Bakery), JKP Zon 18 (Bengkel Penghawa Dingin) dan JKP 21 (Bengkel Komputer)”, kata Yang Dipertua Majlis MPSJ, Dato’ Adnan Md Ikhsan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dan Berbuka Puasa di Hotel Grand Dorsett dekat sini malam tadi.

Seramai 20 penerima yang dikenalpasti di setiap zon JKP MPSJ terdiri daripada gologan kurang berkemampuan, ibu tunggal, anak-anak yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU) menerima sumbangan bagi meringankan beban dalam persiapan Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri nanti.

Pada tahun ini juga, seramai 480 keluarga menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas bernilai RM100 dan wang tunai RM100.

“Saya juga yakin, majlis seumpama ini mampu mewujudkan semangat muhibbah di kalangan komuniti tanpa mengira fahaman agama dan bangsa kerana ia selari dengan hasrat dan aspirasi negara yang mahu hubungan sosial di kalangan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan juga budaya diperkukuhkan”, tambahnya.

Tiada ulasan: