KUALA LUMPUR — Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan diminta mengharamkan pornografi dan laman-laman web berunsur seks dan lucah di internet bagi menyelamatkan akidah, pemikiran dan perilaku belia-belia di negara ini.
Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor Badrul Hisham Badrudin berkata kerajaan perlu mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang tidak mempunyai peruntukan undang-undang penapisan isi kandungan internet khususnya yang berunsur lucah dan pornografi.
Katanya pendedahan meluas seumpamanya turut menyumbang kepada gejala social lain seperti perlakuan seks bebas di kalangan remaja yang akhirnya menyebabkan berlakunya jenayah pembuangan bayi semakin berleluasa di negara ini.
“Saya rasa akta ini patut dipinda supaya ia dapat memberhentikan dan mengharamkan laman-laman web yang lucah atau berunsur pornografi.
“Beberapa kajian yang dilakukan sebelum ini mendapati remaja mempunyai satu perasaan ingin mencuba dan apabila menonton laman-laman lucah mereka mungkin akan melangkah ke tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Badrul Hisham ditemui selepas menyerahkan memorandum pengharaman pornografi dan bahan-bahan lucah di internet di pejabat Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim di Bangunan Sultan Abdul Samad.
Beliau bersama 15 anggota Gerakan Belia 4B Malaysia kawasan Petaling Jaya Selatan menyerahkan memorandum itu kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri, Abdul Rauf Puteh yang mengandungi tujuh resolusi berhubung pengharaman pornografi dan lucah di internet.
Kandungan memorandum itu antara lain menggesa agar kerajaan mengharamkan pornografi dan laman web seks dan lucah di internet secara keseluruhan kerana ia tidak berfaedah melainkan merosakkan minda generasi muda, mengkaji laman-laman sosial seperti MySpace, Friendster, Facebook dan lain-lain kerana ia juga disalahgunakan bagi tujuan tidak bermoral.
Selain itu, kementerian itu diminta mengambil tindakan segera memberhentikan akses kepada laman web berunsur pornografi, seks dan lucah; menolak apa jua sebab mengapa pornografi dan laman web yang berunsur pornografi, seks dan lucah tidak boleh diharamkan.
Majlis itu juga mengutuk pelaku yang membuang bayi apatah lagi membunuh bayi yang tidak bersalah ini kerana ia bertentangan dengan ajaran dan hukum mana-mana agama serta tidak berperikemanusiaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan