Selasa, 24 Ogos 2010

Jenazah mangsa letupan selamat dikebumi

BERNAMA


Jenazah kanak-kanak malang Khairul Arif Ayub, 6, yang menjadi mangsa kejadian letupan mercun di sebuah rumah tinggal di Kampung Makam Lama, Chabang Tiga semalam selamat dikebumikan di Kuala Terengganu selepas Asar tadi.

Jenazah yang diiringi oleh ibunya Kamariah Sufian, 25 dibawa dari bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dikebumikan kira-kira pukul 4.35 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Makam Lama, Chabang Tiga dengan dihadiri lebih 100 orang kaum keluarga, orang ramai serta anggota polis.

Turut kelihatan berada di tanah perkuburan itu adalah ayah mangsa Ayub Abdul Rahman, 28 tahun yang sejak dari awal berada di tanah perkuburan tersebut untuk menggali sendiri liang lahad untuk anak tunggalnya itu.

Suasana hiba menyelebungi tanah perkuburan sebaik jenazah dibawa keluar dari kenderaaan jenazah HSNZ apabila ibu mangsa hampir pitam beberapa kali sehingga terpaksa dipapah dan ditenteramkan oleh suami dan saudara maranya.

Kamariah yang memakai baju labuh berwarna kemerahan dan berseluar jeans kelihatan lemah longlai dan tidak henti-henti menangis sehingga terpaksa dipujuk oleh anggota keluarga.

Keadaan itu turut menyebabkan orang ramai dan saudara mara yang hadir pada pengkebumian jenazah murid Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) Kampung Losong Atap Zin itu sedih dan mengalirkan air mata.

Sebaik sahaja selesai pengkebumian, polis kelihatan mengiringi Ayub ke kenderaan polis untuk dibawa ke Balai Polis Daerah Kuala Terengganu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Sementara itu, datuk mangsa Abdul Rahman Long, 60-an berkata dalam kejadian semalam, beliau begitu terkejut apabila dimaklumkan oleh salah seorang anaknya yang cucunya itu meninggal dunia di atas pokok.

"Semasa itu saya baru balik dari kedai apabila dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa Arif. Saya bergegas ke tempat berkenaan dan tergamam apabila melihat dia benar-benar tersangkut di atas pokok.

"Saya cuba menurunkan mayatnya dengan memanjat sendiri pokok itu tetapi saya tidak larat dan hanya mampu naik separuh jalan sahaja," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui Bernama di rumahnya di Seberang Baruh di Kuala Terengganu.

Katanya, dua anaknya kemudian menyambung usaha untuk menurunkan mayat Khairul Arif dan beliau menyambutnya dari bawah dengan perasaan sedih dan hiba apabila melihat kecederaan parah yang dialami oleh cucunya itu terutama di bahagian kepala.

Beliau juga tidak menyangka kata-kata Khairul Arif bahawa dia ingin mati meninggalkan ibu dan ayahnya semasa menziarahi seorang anggota keluarganya yang
meninggal dunia di Hulu Terengganu pada hari ketiga puasa menjadi kenyataan.

"Dia beria-ia nak mengikut saya menziarah seorang waris meninggal. Ketika menyediakan juadah untuk kenduri tahlil, Arif ada memberitahu saya sedapnya kuih untuk orang mati, kalau macam ni Arif pun nak mati juga, tinggallah ma dan papa dua orang," katanya.

Beliau menyifatkan Khairul Arif seorang cucu yang manja, periang dan cepat mesra dengan orang.


Tiada ulasan: