Sabtu, 14 Ogos 2010

Harga bawang putih naik: Kerajaan tidak boleh kawal - Menteri

WARKAH DAILY

Kenaikan harga bawang putih di pasaran tempatan kini, adalah sesuatu yang tidak boleh dielak dan dikawal oleh kerajaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata peniaga tempatan terpaksa menaikkan harga bawang putih kerana mereka telah mengimport bahan makanan itu dari China dengan harga yang tinggi.

"Harga bawang putih naik kerana ia diimport dari China. Keadaan cuaca di China telah menjejaskan pengeluaran bawang putih di negara berkenaan.

"Sebagai pengimport, kita (peniaga tempatan) membelinya dengan harga yang tinggi dari China dan mereka tiada pilihan selain terpaksa menjualnya dengan harga yang tinggi," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Bazar Ramadan di Presint 2, Putrajaya semalam.

Change the way you do business with Microsoft BPOS
Ismail Sabri berkata Malaysia bergantung kepada China untuk mendapatkan bawang putih kerana negara berkenaan merupakan pengeluar terbesar bahan makanan tersebut.

Katanya kerajaan tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa bagi mendapatkan bekalan bawang putih dari negara lain kerana ia membabitkan kontrak jangka panjang antara pengimport dan pengeluar bahan makanan itu.

Hari ini, harga runcit bagi satu kilogram bawang putih sekarang hampir RM10 disebabkan bekalan yang terhad berikutan banjir di China.

Sesetengah bawang putih bergred tinggi dilaporkan berharga lebih daripada RM10 dan harga itu berbeza mengikut lokasi.

Harga borong bagi bawang putih yang biasanya antara RM3 dan RM3.50 sekilogram melonjak kepada RM8.50 sekilogram.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata daripada tinjauannya hari ini dan di Seksyen 17 Petaling Jaya semalam, harga bahan makanan dan minuman di bazar Ramadan adalah sama seperti tahun lepas, walaupun harga gula naik 25 sen sekilogram, bulan lepas.

"Sebelum ini, rakyat menyuarakan kebimbangan harga bahan makanan dan minuman yang berasaskan gula akan naik tetapi daripada laporan yang saya terima dari pengarah-pengarah negeri juga menyatakan harga bahan makanan dan minuman masih kekal seperti tahun lepas," katanya.

Beliau berkata harga ayam di Putrajaya juga masih berpatutan walaupun di beberapa tempat harga bahan bekalan itu agak tinggi kerana peniaga di sini, berpendapat mereka masih boleh mendapat untung jika menjualnya dalam kuantiti yang banyak.

Ditanya mengenai terdapat peniaga Melayu menjadi mangsa pengusaha-pengusaha pusat beli-belah bertaraf lima bintang yang mengenakan kadar sewa yang tinggi sehingga menyebabkan mereka terpaksa menutup premis masing-masing, Ismail Sabri berkata setakat ini beliau belum mendapat laporan berhubung perkara itu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga-peniaga terbabit supaya membuat laporan kepada kementeriannya dan beliau akan membangkitkan perkara itu walaupun ia bukan di bawah bidang kuasa pihaknya.

"Kalau mereka kemukakan laporan, saya akan sampaikannya kepada pihak-pihak berkaitan," katanya. -Bernama

Tiada ulasan: