GUNUNG SEMANGGOL: Hati siapa tidak tersentuh apabila melihat kedaifan seorang ibu tunggal yang hanya menanti simpati daripada jiran untuk mengisi perut bagi meneruskan kehidupan memikul amanah sebagai hamba Allah.
Di bawah rimbunan pokok rambutan dan belimbing terselit sebuah rumah yang agak usang dan di dalamnya seorang ibu tunggal menjaga anak lelaki berusia lingkuangan 30-an yang berpenyakit.
Walaupun hidup dalam kedaifan, Basariah Lebak, 60-an, tetap ceria ketika menyambut kehadiran rombongan Muslimat PAS Pusat serta Muslimat Gunung Semanggol ke rumahnya.
Pada mulanya, penulis serta rombongan Muslimat cuak untuk memasuki rumah Basariah. Ini kerana lantai rumah beliau kelihatan reput dan basah.
Dari luar rumah sudah terhidu bau najis kucing. Bau itu bertambah kuat ketika penulis dan Muslimat berada dalam rumah Basariah.
Bagaimanapun, untuk menjaga hati ibu tunggal itu delegasi Muslimat tetap naik ke rumah Basariah bertanya khabar serta menghulurkan bantuan kewangan dan makanan asas.
Penulis mendapati lebih 10 ekor kucing berada dalam rumahnya.
Beberapa ekor kucing menggelilingi tudung saji, ada yang berada di atas tiang dan dapur.
Keadaan dalam rumah beliau tidak tersusun, ditambah dengan lambakan kain baju serta perabot buruk dan rosak.
Sukar untuk mencari tempat yang selesa. Hanya ada satu sudut di ruang luar tergantung kelambu yang sudah lusuh mungkin tempat dua beranak itu tidur.
Penulis sempat menjeling ke dalam tudung saji di atas lantai, malangnya hanya kelihatan pinggan kosong.
Dalam perbualan Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Setiausaha, Kartini Ahmad serta AJK, Dr Najihah di rumahnya, Basariah memaklumkan setiap hari mendapat bantuan makanan daripada jiran-jiran.
Ketika muda, beliau membesarkan lima orang anak tiri namun, mereka tidak pernah menjenguk ibu yang kini berada dalam kedaifan.
Kunjungan Muslimat petang Selasa 17 Ogos lalu dengan membawa beras, makanan asas serta wang melihatkan keceriaan wajah Basariah.
Ibu yang bertubuh kurus itu amat menghormati kunjungan Muslimat. Beliau acap kali mengajak Muslimat duduk tetapi memandangkan suasana rumah yang tidak selesa, Muslimat lebih selesa berdiri.
Keadaan rumah yang berselerak dengan longgokan kain ditambah dengan bau najis kucing sudah tentu menjemput nyamuk dan lalat.
Berat mana mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sudah pasti ibu yang bertubuh kurus itu menyimpan perasaan malu tetapi pasrah dengan keadaan rumah serta kehidupannya.
Bilik Berita Harakah serta Dewan Muslimat PAS Pusat akan terus menjejak masyarakat yang susah, ibu-ibu tunggal serta anak-anak yatim.
"Terima kasih kepada para penyumbang yang budiman. Insya-Allah segala bantuan ikhlas itu akan kami salurkan kepada golongan yang memerlukannya," kata Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman.
Sehubungan itu, sumbangan kewangan amat diperlukan. Mereka yang mahu menyumbang hulurkan terus ke Maybank, nombor akaun: 564025400533. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan