Selasa, 3 Ogos 2010

DUN Perak gantung Nizar satu hari



Nizar (depan) bersama rakan-rakannya dari Pakatan Rakyat meninggalkan Dewan Undangan Negeri sebagai protes beliau digantung sehari pagi tadi.

IPOH— Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama sehari ekoran kekecohan yang timbul ketika perbahasan ke atas rang undang-udang perbekalan tambahan.

Kekecohan timbul apabila Nizar (PAS-Pasir Panjang) enggan duduk selepas tempoh 15 minit untuk beliau berbahas berakhir.

Datuk Ramly Zahari (BN-Manong) bangun meminta Nizar dikeluarkan dari DUN sambil mendakwa bekas menteri besar itu mahu mencetuskan kekecohan di DUN.

Speaker Datuk R. Ganesan yang Nizar enggan merujuknya sebagai Speaker DUN membenarkan Ramly membawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat lalu mengarahkan Nizar keluar dewan.

“YB Datuk Seri Nizar, sila tinggalkan dewan,” kata beliau berulang kali hampir setengah jam.

Nizar yang bertegas enggan keluar DUN, ditemani rakan-rakannya dalam PR yang turut bangun dan berhujah secara serentak.

“YB Nizar, anda digantung dari Dewan selama sehari, sehinggan sidang berakhir hari ini,” kata Ganesan.

Ganesan kemudian mengarahkan bentara DUN membawa Nizar keluar tetapi Nizar enggan mematuhi perintah itu.

Selepas kekecohan yang berterusan beberapa minit, kesemua 27 wakil rakyat PR memulaukan sidang dan meninggalkan DUN serentak bersama Nizar.

Tiada ulasan: