Rabu, 11 Ogos 2010

Bubur lambuk Kg Baru laris, peniaga nak menang tangan



Yon, keistimewaan bubur lambuk Kampung Baru terletak kepada citarasanya yang masih lagi mengekalkan ramuan dari turun-temurun. — Gambar oleh Jack Ooi
KUALA LUMPUR — Walaupun bulan Ramadan baru bermula hari ini, bagi peniaga-peniaga bubur lambuk di Kampung Baru permintaan menggalakkan terhadap hidangan itu dilihat sebagai satu “bonus” bagi memenuhi keperluan orang ramai.

Tinjauan The Malaysian Insider di Kampung Baru mendapati terdapat banyak gerai yang menjual bubur lambuk kerana ia sememangnya sudah sinonim dengan kawasan itu.

Selain peniaga, Masjid Jamek Kampung Baru turut menyediakan makanan itu untuk diberikan secara percuma kepada orang ramai sepanjang Ramadan.

Menurut Norhisham Amiruddin, 50, tempahan bubur lambuk setiap tahun semakin meningkat sehingga terpaksa menambah jumlah masakan.

“Saya sudah berniaga bubur lambok sejak 30 tahun dan pada tahun ini sambutan bertambah kerana banyak tempahan yang dibuat oleh syarikat kerajaan dan juga swasta.

“Kebiasaannya tahun lepas masak dalam empat periuk sahaja tapi tahun ini enam periuk.

“Boleh dianggarkan kalau dulu saya boleh jual dalam 1,000 bungkus, mungkin pada tahun ini ia boleh meningkat sehingga lebih 2,000 bungkus sehari,” kata anak jati Kampung Baru itu.

Beliau berkata setiap kali Ramadan orang ramai sama ada masyarakat setempat atau orang luar pasti akan ke Kampung Baru semata-mata untuk dapatkan bubur lambuk.

“Siapa cepat dia yang dapat. Sebab kebiasaannya setiap hari pasti bubur lambuk akan habis dijual.

“Kadang-kadang ketika petang memang tidak menang tangan nak melayan pelanggan yang datang,” katanya.

Bagi Azizah Mokhtar yang berusia 60 tahun, bubur lambuk Kampung Baru mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga menyebabkan kawasan itu akan menjadi tumpuan orang ramai apabila tiba Ramadan.

“Setiap kali tiba Ramadan tarikan utama Kampung Baru adalah bubur lambuknya yang sehingga kini menjadi pilihan orang ramai.

“Boleh dikatakan setiap tahun jumlah jualan akan meningkat... tahun ini saya anggarkan boleh mencecah ribuan bungkus.

“Banyak tempahan daripada syarikat-syarikat luar dan juga kerajaan. Lagipun setiap bungkus kita hanya jual RM2, jadi orang boleh beli banyak dan disimpan,” katanya.

Tambahnya, diharapkan rezeki pada Ramadan tahun ini akan bertambah.

“Selalunya setiap kali Ramadan rezeki akan bertambah kerana bubur lambuk memang sudah ada peminat sendiri.

“Jadi kebiasaannya ada yang sudah buat tempahan dulu kerana bimbang bubur habis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Tukang Masak Bubur Lambuk Masjid Jamek Kampung Baru Yon Masron, 56, berkata keistimewaan bubur lambuk Kampung Baru adalah terletak kepada citarasanya yang masih lagi mengekalkan ramuan dari turun-temurun.

“Saya sudah jadi ketua tukang masak sejak 13 tahun lalu malah setiap tahun permintaan bubur lambuk semakin bertambah.

“Sehingga kini citarasa bubur lambuk ini masih lagi dikekalkan dengan berpandukan pada ramuan yang diturunkan sejak dari dulu lagi.

“Sebelum ini kita hanya masak 12 periuk tapi tahun 15 periuk kerana permintaan yang tinggi daripada orang ramai malah ada yang kempunan,” katanya kepada The Malaysian Insider.


Peniaga membungkus bubur lambuk sama ada untuk tempahan ataupun dijual kepada orang ramai.— Gambar oleh Jack Ooi
Tambahnya, sepanjang Ramadan bubur lambuk tersebut akan diagihkan kepada orang ramai kira-kira pukul 5 petang.

“Pasti ramai yang akan beratur setiap petang untuk mendapatkan bubur lambuk.

“Kita anggarkan lebih 5,000 orang akan datang untuk mendapatkan bubur lambuk secara percuma setiap hari pada bulan Ramadan kali ini.

“Selain itu, bukan hanya masyarakat setempat sahaja tapi orang luar Kuala Lumpur seperti Seremban dan Melaka turut tidak mahu melepaskan merasai keenakan bubur lambuk Kampung Baru,” katanya.

Katanya, pembikinan bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru 130 tenaga kerja selain 10 tukang masak khas.

Seorang lagi peniaga Zainal Abidin Abdul Hamid, 55, berkata permintaan bubur lambuk pada tahun ini meningkat berbanding tahun lalu.

“Memang banyak permintaan tahun ini, jika tahun lalu saya hanya masak empat periuk sahaja tapi tahun ini tujuh periuk.

“Dulu dalam 1,000 bungkus sehari tapi tahun ini mungkin lebih 2,000. Lagipun hari ini baru hari pertama jadi masih tidak boleh nak anggarkan lagi.

“Kadang-kadang itu pukul 6 petang bubur lambuk sudah habis tapi masih ada lagi yang bertanya,” katanya.

Berdasarkan sejarah, resipi bubur lambuk Kampung Baru dicipta oleh seorang lelaki yang lebih dikenali dengan nama Said Bank.

Rempah ratus yang digunakan untuk memasak bubur itu dikekalkan sehingga hari ini sejak ia diperkenalkan awal 1950-an.

Sebelum meninggal dunia, Said Bank menurunkan kepakaran memasak kepada imam masjid ketika itu, Mohd. Tahir Jaafar.

Allahyarham turut mengamanahkan agar bubur lambuk yang dikekalkan sebagai juadah berbuka puasa diagihkan secara percuma kepada orang ramai.

Dari tahun ke tahun, bubur lambuk Kampung Baru ini kian mendapat perhatian dan ia tidak sukar untuk mendapatkan bubur tersebut sekiranya orang ramai datang ke Kampung Baru kerana ia boleh didapati di banyak gerai termasuk di Masjid Jamek Kampung Baru.

Tiada ulasan: