Jumaat, 2 Julai 2010

Suri rumah dapat kebenaran bertindak ke atas IGP

BERNAMA



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan seorang suri rumah mengambil tindakan terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan, kerana menghina mahkamah selepas dia ditahan semula walaupun dibebaskan oleh mahkamah pada Mei lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha hari ini membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan oleh Lim Mui Cheng, 42, dari Muar, yang kini ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah kerana didakwa mengedar dadah.

Peguam Lim, Datuk N Sivananthan, berkata notis keputusan itu akan diserahkan kepada Musa hari ini.

Pada 25 Mei lalu, Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membenarkan permohonannya bagi writ habeas corpus atas alasan penahanannya tidak mengikut peraturan dan memerintahkan Lim dibawa ke mahkamah pada 27 Mei lalu untuk dibebaskan.

Bagaimanapun, wanita berkenaan ditahan semula selepas melangkah keluar dari mahkamah.

Lim ditahan bersama suami, anak lelaki dan teman wanitanya kerana disyaki mengedar dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Mawar, Muar, pada 27 April lepas.

Suri rumah itu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 di balai polis Johor Jaya manakala lain pula dibebaskan dua hari selepas serbuan itu.


Tiada ulasan: