Khamis, 29 Julai 2010

Umno BN Perak perlu bersedia hadapi rakyat

Johari Jaafar

IPOH: Pemimpin Umno Barisan Nasional (BN) Perak mesti bersedia berdepan dengan rakyat secara telus dan berani setelah mereka berjaya mendapatkan kuasa pemerintahan melalui ‘pintu belakang’ dan bukannya melalui saluran rakyat.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk), Mohd Munir Ali berharap Umno BN negeri tidak perlu takut untuk berdepan dengan rakyat.

“Kenapa perlu takut berdepan dengan rakyat jika mereka yakin rakyat yang memberi mandat kepada PR pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 tahun 2008 dahulu sudah boleh menerima mereka walaupun dengan cara pengalihan kuasa yang tidak demokratik itu?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya masih menunggu maklum balas kebenaran mengikuti Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 3 Ogos ini daripada Bahagian Majlis DUN Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak yang telah dihantar pada 6 Julai tetapi sehingga kini belum menerima sebarang jawapan rasmi.

DPPN Pk, katanya meyakini bahawa rakyat sepatutnya dibenarkan mengikuti sidang supaya mereka boleh menilai sendiri perkara yang dibincangkan di dalam sidang Dun tersebut.

Katanya, DPPN Pk amat sedih sekiranya ada pihak tertentu yang cuba untuk menutup ruang demokrasi yang secara jelas dibenarkan di dalam Perlembagaan Negara demi memenuhi kepentingan pihak-pihak tertentu.

“DPPN Pk percaya ruang demokrasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara bukan sahaja perlu dipelihara dengan telus, malah mesti dilihat sebagai telus dengan dijauhkan dari sebarang penyalahgunaan yang hanya akan mengundang pandangan serong masyarakat,” katanya.

Menurutnya, sudah tentu kesedihan rakyat Negeri Perak terutamanya akan bertambah jika usaha menegakkan demokrasi tulen itu masih tidak tercapai.

Tiada ulasan: