Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) mempertahankan pembatalan dokumentari yang membincangkan isu Empangan Bakun oleh RTM sebagai keputusan profesional, "memandangkan ia tidak mematuhi Garis Panduan Siaran RTM selain tidak memuatkan tujuan sebenar projek dan faedahnya kepada negara".
Demikianlah jawapan lisan daripada KPKK kepada ahli Dewan Negara, Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim (gambar kiri), apabila beliau meminta Menteri KPKK untuk menyatakan alasan memberhentikan Episod 4 dan 5 isu Bakun di Galeri Mandarin Nasional di TV2 seperti ySang disiarkan di internet oleh penerbitnya, Chou Z Lam.
"Pembatalan dan keputusan menarik balik penyiaran dokumentari yang membincangkan masalah penduduk di tapak pembinaan Empangan Bakun dibuat secara professional memandangkan ia tidak mematuhi Garis Panduan Siaran RTM selain tidak memuatkan tujuan sebenar projek dan faedahnya kepada negara. Berdasarkan Standard Operating Procedure (SOP) penyediaan sesuatu program, RTM bertanggungjawab memastikan rakyat mendapat maklumat yang seimbang tentang projek-projek yang dilaksanakan," jawabnya.
Pada 28 April 2010, bekas Penerbit TV2, Chou Z Lam membongkarkan bagaimana rancangan dokumentari, Galeri Mandarin Nasional yang merakamkan isu Empangan Bakun ditarik dan dibatalkan, atas alasan "tidak baik" untuk PRK Sibu dan pilihan raya negeri Sarawak yang akan dijalankan pada Mei 2010. 【Satu lagi campur tangan BN dalam kebebasan media TV, penerbit TV2】
Chou Z Lam (gambar kanan) kemudian membuat pendedahan kedua, pada 10 Mei, apabila dokumentari yang membincangkan isu Menara Elektrik di Rawang turut dibatalkan, dan gagal ke udara sebagaimana yang dijadualkan. Pada 13 Mei, Chou Z Lam sendiri yang menjadi "watak berita", apabila beliau diarahkan untuk meninggalkan pejabat dengan segera.
Sebulan kemudian, lidah parti PKR (edisi bahasa Cina) mendedahkan bahawa satu dokumen mula diedarkan kepada semua staf RTM, termasuk Pegawai Artis Berjadual dan pekerja piecemeal, dan dipaksa untuk menurunkan tandatangan mereka. Sembilan perkara digariskan, dan yang terakhirnya berbunyi, "tidak akan ingkar perintah atau berkelakuan dengan cara boleh ditafsirkan sebagai ingkar perintah".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan