Khamis, 29 Julai 2010

Sambut baik Perkeso jual saham Carlsberg

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik tindakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjual semula 2,155,700 unit saham dari syarikat arak Carlsberg Brewery Malaysia Berhad.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam di Dewan Negara semalam memberikan gambaran positif terhadap tindakan PAS yang selama ini menuntut agar Perkeso menjauhi perniagaan arak demi kepentingan awam yang telah mencarumkan hasil titik peluh mereka yang halal kepada agensi berkenaan.

DPPWP, katanya menyeru agar semua pemegang saham dalam syarikat-syarikat arak dan judi di negara ini mengambil langkah yang sama dengan menjual semua saham dan kepentingan mereka.

“DPPWP juga menyeru kepada kerajaan terutamanya Pakatan Rakyat supaya mengetatkan penguatkuasaan undang-undang penjualan arak agar ianya tidak dijual secara terbuka dan dihadkan kepada bukan Islam sahaja,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, kewujudan premis penjualan arak serta pemborong juga perlulah dihadkan mengikut keperluan masyarakat setempat dan tidak diluluskan sewenang-wenangnya.

“DPPWP juga terus mendesak agar pihak berkuasa kerajaan tempatan di seluruh negara tidak membenarkan penjualan arak secara terbuka di premis 7 Eleven dan premis peruncitan yang lain,” ujarnya.

Tiada ulasan: