Sabtu, 31 Julai 2010

Muhyiddin beri amaran usah buat tuntutan etnik melampau

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran agar kumpulan-kumpulan yang mewakili kepentingan kaum masing-masing agar tidak membuat tuntutan melampau atas alasan langkah sedemikian boleh menjejaskan perpaduan.

Sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat harus melihat dari sudut “gambaran yang lebih luas” sambil menerima hakikat bahawa Malaysia sebuah negara majmuk.

“Saya mahu mengingatkan pemimpin-pemimpin muda kita bahawa menguruskan sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia memerlukan banyak kebijaksanaan.

“Kami sentiasa mencari keseimbangan yang terbaik antara berkhidmat untuk kepentingan setiap etnik dan memenuhi kepentingan negara,” kata Timbalan Presiden Umno ini.

Bercakap pada Sidang Kemuncak Tahunan Kepimpinan Pelajar Malaysia Keempat di sini hari ini, Muhyiddin berkata permintaan keterlaluan oleh satu komuniti kadangkala mengundang respons bermusuhan di kalangan etnik lain.

“Ini sudah pasti akan memburukkan hubungan kaum dan menjejaskan perpaduan nasional,” kata Muhyiddin.

Pertubuhan bukan kerajaan seperti Perkasa kini mengetuai gesaan agar kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) mengekalkan hak dan keistimewaan Bumiputera termasuk kuota meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata ekonomi negara mesti bergerak atas asas kompetitif dan saksama.

Dalam pada itu, beberapa kumpulan etnik pula mendakwa kuota seumpama itu hanya memanfaatkan mereka yang kaya manakala rakyat miskin pula ketinggalan dan rasa kecewa.

“Jika kita mahu melihat negara kita menuju masa depan yang lebih baik sebagai negara aman dan makmur bagi setiap rakyat, kita harus melihat dari sudut yang lebih besar,” kata beliau dengan menambah, kepentingan negara perlu diutamakan sambil mengetepikan kepentingan kaum.

“Kita kena menerima hakikat bahawa dalam negara majmuk seperti Malaysia, keamanan dan keharmonian hubungan kaum adalah sangat penting. Yang ini kita kena pelihara dan pertahankan dengan terbuka,” kata Muhyiddin.

Tiada ulasan: