Zulaikha Zulkifli & Puteri Aida Haryani |
Timbalan presiden PERKASA, Datuk Abdul Rahman A Bakar berkata akhbar dua kali sebulan itu akan menjadi wadah bagi mengetengahkan masalah dan kepentingan Melayu selaras dengan matlamat perjuangan mereka.
"Ia bukan seperti akhbar politik," katanya dalam sidang media di pejabat akhbar itu di Danau Kota, Kuala Lumpur.
Buat permulaan sebanyak 25,000 dicetak dan diedarkan di seluruh Malaysia. Ia dijual dengan harga RM2 di semenanjung dan RM2.50 di Sabah dan Sarawak.
Suara Perkasa dijadual terbit setiap 1 dan 15 haribulan.
Kemunculan akhbar itu mengakhirkan penantian pelbagai pihak selepas PERKASA mengedarkan edisi pengenalannya dalam mesyuarat agung pertama mereka di ibu negara pada 27 Mac lalu.
Dalam laporan sulungnya, Suara Perkasa memetik Abdul Rahman sebagai mendesak Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana didakwa mempertikaikan biasiswa mara.
Beliau dilaporkan berkata, jika Wee enggan meminta maaf, PERKASA akan memastikan orang Melayu tidak mengundi Wee pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam satu kenyataan media yang disiarkan dalam akhbar itu, Abdul Rahman juga berkata Wee tidak layak menjadi timbalan menteri pelajaran kerana didakwa membangkitkan isu sensitif.
Siaran muka depan isu itu menggambarpan 'perang' berterusan antara NGO pimpinan Datuk Ibrahim Ali itu dengan Wee sejak penghujung bulan lalu berhubung isu biasiswa MARA.
Akhbar berbahasa Inggeris, The Star memetik Wee sebagai berkata jika kerajaan menghentikan pemberiaan biasiswa JPA tetapi mengekalkan biasiswa Mara, ia tidak selaras dengan konsep 1Malaysia.
Perdebatan isu itu turut mengheret Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang tampil mempertahankan Wee, sekali gus mengkritik Ibrahim.
Sementara itu, Ketua Pengarang Suara Perkasa Daud Ibrahim pula berkata, akhbar itu diterbitkan atas kehendak akar umbi.
"Kita tidak berniat untuk bersaing dengan mana-mana akhbar yang ada. Kalau bersaing pun, ianya bersaing dengan cara yang baik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan