Selasa, 13 Julai 2010

Rayuan: Bung Moktar fail hujah bertulis

BERNAMA



Ahli parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin hari ini memfailkan hujahan bertulis berhubung rayuannya terhadap hukuman penjara sebulan kerana berpoligami tanpa kebenaran.

Hujahan bertulis itu difailkan melalui peguamnya Amli Embong di kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada pukul 2 petang.

"Hujahan telah difailkan di mahkamah dan satu salinan hujahan itu telah diserahkan kepada pihak pendakwa syarie selaku responden," kata Amli ketika dihubungi.

Pada 1 Julai lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memerintahkan Bung Moktar memfailkan hujahan bertulis pada hari ini dan pihak pendakwaan mengemukakan hujahan balas pada 19 Julai ini.

Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Zainor Rashid Hassin turut menetapkan 4 Ogos depan untuk mendengar rayuan Anggota Parlimen Kinabatangan itu.

Pada 19 Mei lepas, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Bung Moktar, 51, kerana kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan pelakon Izette A. Samad, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada pukul 8.50 malam, 16 Disember tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bung Moktar memfailkan rayuan itu di sini pada 25 Mei lepas dan memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan kepada hukuman denda.

Pada 19 Mei juga, Bung Moktar turut didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana kesalahan bersubahat dengan Zizie Izette kerana berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk.

Beliau membayar denda itu.


Tiada ulasan: