KUALA LUMPUR — Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC menolak rayuan dua pemimpin parti itu hari ini — V. Subramaniam dan K.P. Samy yang dipecat oleh presiden mereka Datuk Seri S. Samy Vellu dua bulan lalu.
Keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa tersebut yang mengadakan pertemuan mereka di ibu pejabatnya pagi ini untuk membincangkan rayuan mereka dan dua yang lain.
The Malaysian Insider difahamkan rayuan Samy ditolak terus oleh CWC manakala Subramaniam pula mengalami nasib yang sama selepas diberikan peluang untuk menjelaskan kedudukannya secara lisan ketika pertemuan hari ini.
CWC akan mendengar rayuan dua yang lain iaitu G. Kumar Aamaan dan V. Mugilan yang turut dipecat oleh presiden parti itu.
Samy dan Kumar Aamaan merupakan anggota CWC manakala Mugilan pula bekas timbalan ketua Pemuda pusat.
Subramaniam pula bekas ketua MIC bahagian Petaling Jaya Selatan.
Kedua-dua Mugilan dan Kumar Aamaan juga akan diberikan peluang untuk membuat penjelasan kepada CWC kemudian.
CWC akan terus bersidang untuk mendengar kes mereka selepas ini.
Bekas setiausaha agung MIC S. Murugessan berkata Samy tidak diberikan ruang untuk muncul di hadapan CWC kerana gagal memaklumkan hasratnya agar penjelasannya didengar oleh jawatankuasa tersebut.
“Kemungkinan beliau tidak sedar tentang peruntukan itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan