Media arus perdana putar belit kenyataan Anwar
Oleh Qayum Rahman
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar membidas laporan akhbar-akhbar tempatan yang menyatakan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Washington, Amerika Syarikat baru-baru ini untuk memohon maaf atas kenyataannya terhadap kekejaman zionis Israel.
Ini berikutan beberapa media arus perdana milik Umno-Barisan Nasional (BN) hari ini memberi gambaran salah dengan menyatakan pemergian Ketua Pembangkang itu adalah untuk memohon maaf kepada Washington.
"Kenyataan bohong dan berunsur fitnah tersebut adalah keterlaluan, bertujuan mengaibkan Anwar dan Anwar sebenarnya ingin mendapatkan penjelasan dan mencari jalan penyelesaian berhubung tragedi berdarah Misi Kemanusiaan Gaza 31 Mei lalu.
"Anwar hadir untuk menyampaikan perasaan marah rakyat Malaysia terhadap kezaliman zionis Israel dengan cara bersemuka dengan pihak Washington," kata Izzah, menambah laporan-laporan hari ini telah mencemar imej bapanya.
Nurul Izzah berkata, tindakan kerajaan Malaysia yang sambil lewa terhadap kezaliman zionis Israel menyebabkan imej negara ini tercalar kerana tidak mampu membantu umat Islam di Palestin dan Genting Gaza, walaupun pada suatu ketika dahulu, Malaysia menerajui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Persepsi buruk ciptaan Umno-BN
Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff berkata, persepsi buruk yang dicipta oleh media arus perdana jelas memperlihatkan sikap Umno-BN yang langsung tidak bertanggungjawab dan tidak berusaha untuk membantu umat Islam di Palestin dan Gaza.
Beliau berkata, "saya kecewa dengan pembohongan media arus perdana yang ingin menjatuhkan maruah Anwar, semata-mata kerana ingin mengikut telunjuk pemimpin mereka.
"Hakikatnya, Umno gagal membela nasib umat Islam di luar negara kerana mengambil sikap untuk tidak campur tangan. Umno gagal menyatakan pendirian Malaysia kepada Washington berhubung penyeksaan dan kekejaman zionis Israel terhadap umat Islam.
"Sebaliknya Pakatan Rakyat, bukan sahaja akan memelihara maruah tetapi akan terus menyokong dan membela nasib umat Islam sedunia, terutama di Palestin dan Gaza," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Yusmadi juga meminta agar Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menarik balik kenyataan beliau hari ini yang menyokong kenyataan akhbar-akhbar tempatan dan Washington Post yang mendakwa Anwar ke Washington untuk memohon maaf.
Menurut Washington Post hari Isnin, yang dipetik oleh akhbar-akhbar tempatan, Anwar memberitahu rakan-rakannya di Amerika Syarikat bahawa beliau kesal menggunakan istilah seperti "tindakan ganas Zionis".
Dalam satu rencana pada muka surat edisi timbalan editorial, Jackson Diehl, akhbar itu berkata Anwar berada di Washington untuk beberapa hari minggu lalu.
Anwar dilaporkan oleh Jackson Diehl sebagai berkata, beliau kesal menggunakan istilah seperti tindakan ganas Zionis.
"Kenapa saya harus mengeluarkan kata-kata seperti itu jika ia menimbulkan banyak kekeliruan. Saya harus lebih berhati-hati," penulis itu memetik Anwar sebagai berkata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan