Sabtu, 10 Julai 2010

Ketua MIC pertahan kepimpinan 32 tahun

Salhan K Ahmad

Sementara mengakui beberapa keputusan yang diambilnya mungkin tidak dapat diterima baik sesetengah pihak, Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata bahawa beliau hanya melakukan "apa yang betul" untuk masyarakat dan parti.

“Terdapat banyak keadaan di mana keputusan-keputusan saya tidak disukai, tetapi saya percaya sebagai seorang pemimpin, saya telah melakukan apa yang betul untuk rakyat.

“Sa
ya perlu melakukan perkara yang betul, dan pada masa sama, mendapatkan apa yang betul bagi rakyat," katanya kepada 3,000 perwakilan dan pemerhati MIC pada majlis perasmian perhimpunan agung MIC ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Samy Vellu, yang akan bersara pada atau sebelum 30 Sept tahun depan selepas hampir 32 tahun memimpin parti, berkata era kepimpinannya adalah "suatu yang sukar, penuh ujian dan mencabar".

“Terdapat perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat dan kesukaran dalam sektor pendidikan, economi, pekerjaan dan agama sentiasa dikemukakan kepada kami dalam kepimpinan MIC," kata beliau.

Katanya, MIC juga telah berjaya meraih semula 50 peratus sokongan masyarakat India yang tidak memihak kepada BN pada pilihan raya umum lalu.

Samy Vellu berkata MIC bagaimanapun tidak akan berpuas hati dengan kejayaan tersebut.

"Kita tidak akan berdiam diri dengan kemenangan ini, tetapi akan melancarkan serangan fasa kedua untuk merampas kembali sokongan daripada baki pengundi India sebelum pilihan raya umum akan datang," katanya.

Dalam ucapan dasarnya itu, beliau turut menyalahkan seluruh anggota parti atas perpecahan yang berlaku di kalangan masyarakat India.

"Kumpulan seperti ini tidak akan dapat bertahan lama kerana mereka tidak dapat memberikan gambaran jelas perjuangan mereka untuk masyarakat," katanya lagi.

Dalam pada itu, Samy turut mengakui bahawa kalangan parti itu sendiri tidak mempersetujui keputusan yang dibuatnya sebelum ini.

"Tetapi saya percaya sebagai seorang pemimpin, saya telah melaksanakan apa yang terbaik untuk masyarakat.

"Saya terpaksa melakukan perkara yang betul dan dalam masa yang sama memperbetulkan keadaan untuk masyarakat," katanya lagi.

Tambahnya, beliau sendiri meluangkan masa hampir 15 jam setiap hari untuk menyelesaikan isu-isu melibatkan kaum India.

"MIC telah membuktikan kepada BN dan kerajaan bahawa kita masih relevan melalui beberapa usaha untuk menarik, mengekal dan memujuk ramai masyarakat India supaya kembali menyokong MIC dan BN.

"Sokongan yang telah diberikan oleh pengundi India kepada BN dalam dua pilihan raya kecil terbaru yang lalu, adalah bukti kejayaan strategi proaktif MIC," katanya lagi.

Beliau seterusnya menyeru anggota parti itu supaya menumpukan usaha perpaduan dalam MIC.

"Marilah kita bersatu sebagai pasukan yang kukuh dan penting dalam memperjuangkan hak dan kepentingan masyarakat India demi melihat kejayaan BN dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Tiada ulasan: