Selasa, 27 Julai 2010

Imigresen Kesan Ada Usaha Bawa Masuk Pekerja Bangladesh

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen mengesan terdapat usaha membawa masuk 55,000 pekerja asing Bangladesh ke negara ini walaupun kerajaan telah membatalkan permohonan visa pekerja asing negara tersebut sejak 2008.

Ketua Pengarah JIM Datuk Abdul Rahman Othman berkata ia berikutan pertambahan kedatangan warganegara Bangladesh yang dikesan sejak awal tahun ini melalui pintu masuk utama negara.

"Kita mencurigai tujuan kedatangan mereka dan setelah disiasat mereka masuk ke negara ini untuk bekerja. Berikutan itu dari Januari hingga Jun tahun ini, seramai 3,812 rakyat Bangladesh telah dibatalkan kemasukan mereka," katanya kepada pemberita di Jabatan Imigresen di sini, Isnin.

Beliau berkata kemasukan ini ada kaitannya dengan 55,000 pekerja asing Bangladesh yang sebelum ini kemasukan mereka pernah diluluskan kerajaan Malaysia bagi memenuhi keperluan tenaga buruh dalam pelbagai sektor.

Bagaimanapun, semua visa kemasukan itu termasuk yang belum memasuki Malaysia dibatalkan serta-merta pada Mac 2009 selaras dengan keputusan kerajaan untuk tidak menerima sebarang permohonan baru melainkan sektor yang kritikal.

Abdul Rahman berkata kebanyakan mereka menaiki penerbangan tambang murah dari Dhaka dan tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pukul 10 malam dan awal pagi.

Beliau berkata pegawainya di lapangan terbang dapat mengesan taktik warga Bangladesh tersebut dan menahan mereka dari memasuki negara ini.

"Mereka guna pas sosial dan cakap datang melancong, tapi kalau datang dan bawa bersama pakaian yang banyak, bawa pula periuk masak nasi, periuk dan sebagainya sudah pasti ada niat lain dan berhasrat tinggal lama di negara ini.

"Kita mempunyai pegawai terlatih untuk 'menghidu' kemasukan mereka di sini," katanya.

Beliau yang enggan mengaitkan penglibatan sindiket dalam urusan membawa mereka masuk ke negara ini berkata, kemungkinan mereka masuk secara individu.

"Saya tidak tahu penglibatan sindiket dalam urusan ini, jadi saya tidak boleh memaklumkannya," katanya.

Beliau berkata selain Bangladesh, pihaknya turut membatalkan kemasukan 812 warganegara India, 295 warganegara Nigeria, 361 warganegara Pakistan dan 112 warganegara Vietnam atas alasan yang sama dalam tempoh antara Januari hingga Jun tahun ini.

Katanya kesemua mereka pulang ke negara masing-masing atas perbelanjaan sendiri. -

Tiada ulasan: