Khamis, 1 Julai 2010

Bala: ‘Ya, saya hidup kerana dapat dana tapi…’

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Detektif persendirian P. Balasubramaniam yang kini berada di luar negara mengakui “menerima pembiayaan” daripada seorang tetapi orang yang dimaksudkan bukannya mereka yang rapat dengan Pakatan Rakyat, tetapi ahli perniagaan permaidani yang dikenali sebagai Deepak Jaikishan.

Balasubramaniam yang semalam berhadapan dengan situasi enggan ditemui oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di London minggu depan atas faktor implikasi perundangan berkata, dia bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim dalam hal tersebut.

Bagaimanapun, dalam jawapan yang dihantar menerusi peguamnya Americk Sidhu beliau berkata, sumber kewangannya bukan daripada orang lain tetapi “dana” diterima ahli perniagaan.

“Saya merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Bebas Datuk Zahrain Hashim (semalam).

“Saya diarahkan oleh pelanggan saya untuk mengatakan bahawa dia menyokong penuh cadangan dibuat Datuk Zahrain atas alasan mudah yang mana wang yang digunakan untuk membayar perjalanan ke London dan penginapan adalah diperoleh daripada dana diterima daripada Deepak Jaikishan,” katanya.

Selepas portal-portal tempatan menyiarkan temu bual terbaru Balasubramaniam (gambar) akhir tahun lalu beberapa pemimpin atasan Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan laporan kepada SPRM dengan menamakan Datuk Mohamed Nazim Razak dan Deepak sebagai dua individu utama yang perlu disiasat.

Laporan media sebelum ini menyebut Deepak juga didakwa kenalan rapat Datin Seri Rosmah Mansor, isteri perdana menteri.

Di bangunan Parlimen semalam, Zahrain mendesak SPRM menyiasat individu yang terbabit menaja Balasubramaniam di London.

Beliau yakin ada individu yang menaja kehidupan Balasubramaniam di negara itu kerana mengetahui penyiasat berkenaan tidak mampu menetap di sana tanpa bantuan kewangan.

“Saya mendesak melalui menteri minta SPRM siasat siapa sponsor. Lagipun, saya tahu tidak mungkin Bala mampu duduk di London berbulan-bulan tanpa ditaja,” katanya.

Balasubramaniam mengundang kontroversi apabila pada 3 Julai 2008 muncul dan mengumumkan akuan bersumpahnya berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaiamanapun keesokannya, beliau menarik balik kenyataan akuan sumpah awalnya itu melalui akuan sumpah kedua dalam satu sidang media sebelum bertindak menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarganya.

Zahrain berkata episod kehidupan Balasubramaniam seakan menyerupai episod kehidupan pengendali portal berita Malaysia Today Raja Petra Kamarudin dan yakin pihak yang sama menaja kedua-dua individu terbabit.

Katanya berdasarkan pada bukti-bukti yang beliau peroleh, mendapati kedua-dua individu terbabit mendapat tajaan daripada parti pembangkang.

Beliau berkata dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa parti itu tidak mempunyai hubungan dengan Raja Petra adalah tidak benar.

Tiada ulasan: