Oleh Faizal Ezzany
KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hanya sebagai tukang 'salak' Umno.
Anwar juga menambah tindakan Ketua Pemuda itu hanya ingin menarik perhatian pemimpin atasan sahaja.
"Kita pun tidak tahu apa tujuan beliau sebenarnya, sekarang kita lihat beliau menyalak dengan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali," jelasnya.
Anwar yang diminta mengulas tentang kenyataan Khairy pagi tadi berkenaan dengan beliau meminta maaf dengan pemimpin Yahudi semasa di Washington, beliau menjelaskan sepatutnya Khairy tanyakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak siapa yang bayar yuran pengurusan komunikasi bernilai USD22 juta kepada syarikat yang ada kaitan dengan Israel.
"Bukankah kerajaan Umno dan Najib yang bayar. Perkara pokoknya isu Apco.
"Umno juga menggunakan Apco untuk menyerang saya di luar negara, selama ini saya dituduh sebagai agen Yahudi tetapi Umno menggunakan wang rakyat dan diberikan kepada Israel," katanya lagi.
Anwar yang juga memberitahu laporan di dalam Utusan Malaysia adalah satu penipuan besar kerana kenyataan yang dikeluarkan berkenaan dengan dunia sudah hilang kesabaran terhadap Israel tidak dijadikan tajuk utama tetapi menggunakan tajuk yang menyeleweng.
"Tajuk di dalam Utusan Malaysia hari ini jelas penipuan kenapa mereka tidak meletakkan kenyataan bila dunia sudah hilang kesabaran dengan Israel, inilah kerja Apco yang menjadi penasihat tidak berguna kepada Kerajaan. Bayar RM70 juta maka semua itu tidak boleh disebut.
"Jadi atas alasan yang sama TV3 dan RTM tidak akan mengeluarkan kenyataan tersebut. Jadi apa isunya? Pendirian saya tentang Palestin tidak pernah berubah malah saya mengecam dasar yang digunakan Israel.
"Walaupun saya berkawan dengan semua tetapi saya tidak bayar beberapa tokoh Israel untuk mempertahankan saya, Umno lain mereka bayar kerana untuk mendapat pembelaan dari puak-puak Israel. Begitu juga lesen judi, saya tidak pernah luluskan lesen tetapi Umno meluluskanya. Jelaskanlah,? soal Anwar.
Ketua Pembangkang itu memberitahu beliau ke sana kerana diundang oleh Woodrow Wilson Centre untuk satu ucapan dan sudah tentu mesyuarat diadakan bersama dengan kakitangan editor dan juga media antarabangsa.
"Kebanyakan dari mereka dari Amerika dan Yahudi mengatakan tidak adil bila menuduh Israel kejam kerana Zionis mempunyai negara yang adil dan sah. Saya nyatakan itu pendapat mereka tetapi pendapat saya jelas rejim Zionis Israel adalah penjajah dan zalim," tegas Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan