Jumaat, 11 Disember 2009

RM30.2j kos usir pendatang sejak 2007

BERITA HARIAN ONLINE


KERAJAAN membelanjakan lebih RM30.2 juta bagi menampung kos pengusiran 154,729 pendatang tanpa izin bagi tempoh tiga tahun bermula 2007.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM8.7 juta dibelanjakan bagi kos mengusir 28,849 Pati sepanjang tahun ini, manakala pada 2008 (RM11.7 juta/60,800 orang) dan 2007 (RM9.8 juta/65,080 orang).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata perbelanjaan tinggi itu berikutan kerajaan terpaksa membiayai kos RM30 sehari bagi seorang banduan atau tahanan.

Beliau berkata, kos yang terpaksa ditanggung kerajaan membabitkan kos pengurusan harian dan kos rawatan, tidak termasuk kos perubatan.

"Kos bagi urusan pengusiran Pati ke negara asal iaitu udara, laut dan darat juga di bawah tanggungjawab kerajaan," katanya menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR-Bagan Serai).

Mohsin mahukan penjelasan mengenai bilangan Pati yang ditahan dan kos pengendalian pihak berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Mohsin yang mencadangkan supaya pendatang atau majikan yang menggaji mereka diwajibkan membiayai kos penghantaran pulang ke negara asal, Abu Seman berkata, tiada peruntukan undang-undang yang boleh memaksa pihak berkenaan berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan menawarkan kompaun minimum RM400 kepada setiap Pati yang ditangkap termasuk RM100 bagi membiayai urusan penyediaan penghantaran pulang ke negara asal.

"Hasilnya, usaha kerajaan itu mendapat sambutan baik dan banyak Pati yang berjaya diusir ke negara mereka," katanya.

Tiada ulasan: