UTUSAN ONLINE
SEREMBAN - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan MIC supaya tidak menggunakan isu Pusat Tahanan Simpang Renggam di Johor sebagai sentimen politik.
Katanya, mereka dihantar ke pusat tahanan itu kerana melakukan pelbagai kesalahan jenayah.
''Salah tetap salah. Sudah tentulah Pusat Tahanan Simpang Renggam itu menempatkan mereka yang melakukan kesalahan.
''Saya ingin tegaskan, mereka yang ditahan itu tidak berkisar pada warna kulit, ideologi politik mahupun fahaman agama," katanya di sini hari ini.
Hishammuddin ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Persatuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kali ke-83 di Klana Resort, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas permintaan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu supaya kerajaan menutup pusat berkenaan kerana didakwa menjadi sarang 'pembiakan' penjenayah khususnya di kalangan kaum India berbanding usaha memulihkannya.
Hishammuddin turut menasihatkan pemimpin MIC itu supaya tidak menggunakan payung yang sama dalam BN untuk memainkan sentimen sebegitu.
''Isu Pusat Tahanan Simpang Rengam ini telah lama dibangkitkan dahulu oleh MIC dan saya telah laluinya. Carilah modal lain," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu pindaan berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sedang diperhalusi beberapa pihak ketika ini menerima maklum balas yang baik.
''Ia berkisar kepada lima perkara yang dibimbangi pihak berkepentingan. Jika itu hakikatnya, saya yakin pindaan akta ini boleh dibuat secepat mungkin, di mana ia dibentangkan dan dibahaskan terus dalam sidang Dewan Rakyat akan datang," katanya.
Lima perkara itu, kata beliau, adalah kuasa menteri, kebimbangan ISA digunakan untuk politik, layanan terhadap tahanan dan keluarga, tempoh tahanan dan tahanan tanpa bicara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan