BERNAMA
REMBAU; Pemuda Umno akan menghormati sesiapa saja yang akan dilantik untuk menganggotai Kabinet baru yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu depan.
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu juga tidak akan mendesak dan menuntut Perdana Menteri agar melantik wakilnya untuk menganggotai Kabinet baru itu.
"Soal pelantikan itu adalah hak mutlak Perdana Menteri dan Pemuda Umno memberi kebebasan kepada beliau untuk melantik sesiapa yang difikirkan sesuai untuk menjawat jawatan dan kedudukan dalam kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pesta Adat Homestay Batang Nyamor anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTNS) dekat sini, hari ini.
Najib yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi semalam dijangka mengumumkan barisan Kabinet barunya, minggu depan.
Khairy yang juga anggota Parlimen Rembau berkata pergerakan itu tidak akan memberi tekanan atau melobi kerana ia bukan cara beliau (Khairy).
"Budaya yang saya ingin terapkan dan amalkan dalam Pemuda adalah memfokuskan kepada kerja. Soal jawatan dan kedudukan dalam kerajaan, kita akan sokong tapi kalau tidak (dilantik), kita pun sokong, sebab itu adalah keputusan beliau (Perdana Menteri). Kita tidak akan membuat desakan atau memberikan tekanan soal (pelantikan) itu," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata keputusan Perdana Menteri membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), semalam membuktikan kerajaan tidak menindas mana-mana pihak.
"Keputusan ini membuktikan ketelusan dan keprihatinan kerajaan dalam memastikan tiada pihak yang ditindas atau dianiaya. Kita pasti keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek terutama, soal keselamatan negara.
"Malah, kita juga mengalualukan komitmen Perdana Menteri untuk mengkaji semula akta itu tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan ketenteraman negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan