BERNAMA
SUNGAI PETANI: Keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada Selasa ini dijangka diketahui lewat malam berikutan proses pengiraan undi mengambil masa yang lama kerana ramai calon bertanding.
Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Kedah, Zainal Abidin Zakaria, berkata SPR terpaksa mengira jumlah undi setiap 15 calon yang bertanding selepas penutupan pusat pengundian.
"Jika sebelum ini keputusan boleh diketahui sekitar jam 9 malam tapi kali ini kita jangka ia mungkin diketahui selepas jam 10 malam kerana tempoh masa pengiraan lebih panjang," katanya ketika ditemui di pejabat SPR di sini, hari ini.
Beliau juga menasihati pengundi supaya berhati-hati ketika memilih calon pada hari pengundian kerana saiz kertas yang besar selain ramai calon bertanding.
Katanya, sebanyak 65 kertas undi pos kepada 65 pemilih berdaftar sudah diedarkan mulai hari ini dan mereka boleh memulangkan undi pos itu sebelum jam 5 petang Selasa ini.
Zainal Abidin berkata, sebanyak 50 daripada kertas undi itu diberikan kepada petugas SPR manakala sebanyak 10 kertas undi untuk anggota polis dan lima pengundi yang bekerja di luar negara.
"Kita sudah agihkan kertas undi pos bermula hari ini dan mereka boleh mengundi pada bila-bila masa sehingga jam 5 petang Selasa ini dan undi selepas tempoh itu tidak akan dikira," katanya.
Beliau sekali lagi mengingatkan parti politik yang tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu supaya tidak menaikkan bendera parti mereka kerana ia melanggar peraturan SPR.
Katanya, SPR mendapati ada parti politik yang tidak membayar wang deposit kerana tidak bertanding tetapi menaikkan bendera mereka dalam masa kempen enam hari ini.
"Kita minta pihak terbabit menghentikan perkara sedemikian dan jika kita dapati mereka masih menaikkan bendera, pihak berkuasa boleh bertindak menurunkannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan