Jumaat, 3 April 2009

Buat perubahan terhadap tender: Nik Aziz

SINAR HARIAN


KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat melakukan perubahan terhadap tender diberikan kepada kontraktor di negeri ini.

Beliau berkata, selepas ini sebarang tender untuk projek di Kelantan mestilah terbuka dan tidak memilih bulu.

“Sebagaimana sebelum ini, permintaan kami agar Kerajaan Pusat membiayai masalah air di negeri ini dipenuhi, tetapi tender melaksanakannya kami tidak dapat," katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) di sini, semalam.

Beliau berkata, setiap kontraktor terlibat sebarang projek di negeri ini mestilah diluluskan dan dipilih Kerajaan Pusat.

Nik Aziz berkata, apa salahnya jika peluang itu diberikan kepada kontraktor di negeri ini seperti Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKNIK), Telkon, Syarikat Bina Raya dan banyak lagi.

Menurutnya, semua kontraktor tersebut mempunyai kelayakan tetapi tidak diberi peluang.

“Apa berlaku sekarang perlu diubah dan saya berharap Najib dapat melakukan perubahan," katanya.

Menurutnya, kalau perkara itu tidak berlaku lagi, kerajaan baru sekarang dianggap ada membuat perubahan dan pelantikan Najib ada membawa kepada perubahan.

Nik Aziz berkata, jika kehendak dan pendapatnya itu mendapat perhatian Najib, beliau berterima kasih banyak dan budi itu akan dikenang.

Tiada ulasan: