Ramlang bimbang kembali bertugas
Jimadie Shah Othman
Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang didakwa berkempen untuk PKR di Permatang Pauh, masih bimbangkan keselamatan dirinya jika kembali bertugas.
Sehubungan itu, peguamnya Ahmad Nizam Hamid berkata, Ramlang mungkin memohon cuti tambahan sehingga tempoh yang sesuai kembali bertugas di masjid itu di Jalan Duta.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad Nizam berkata, Ramlang sepatutnya kembali bertugas semula hari ini.
"Ramlang sedang menimbang untuk memohon cuti tambahan kerana bimbangkan keselamatan dirinya," tambahnya.
Menurut Ahmad Nizam lagi, Ramlang juga ada menerima panggilan daripada "pihak atasan" berhubung dakwaan imam tersebut berkempen atas pentas calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil tersebut.
Katanya, mereka mahu mendapatkan penjelasan daripada Ramlang berhubung perkara itu.
Sedia beri kerjasama
Ramlang muncul di Permatang sewaktu pilihanraya kecil baru-baru ini untuk memberi penjelasan apa yang berlaku di majlis sumpah laknat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan, pemuda yang mendakwa diliwat Anwar.
Ketika muncul di tiga majlis anjuran Pakatan Rakyat 24 Ogos lepas, dua hari sebelum hari pengundian, imam itu meminta supaya beliau tidak dikaitkan dengan majlis sumpah laknat Saiful kerana hadir tanpa perancangan awal dan hanya kebetulan berada di masjid untuk urusan pernikahan.
Ramlang juga menjelaskan beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah Saiful it tetapi tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.
Ahmad Nizam berkata, Ramlang bersedia memberi kerjasama dalam siasatan dalaman yang akan diadakan kelak.
Ulas kenyataan Zahid
"Kita yakin Ramlang tidak bersalah, dan beliau sedia beri kerjasama dalam siasatan tersebut," tambahnya.
Ditanya reaksinya terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zahid Hamidi mengenai siasatan dalaman tersebut, Ahmad berkata:
"Jangan bising ikut arahan kerajaan, sepatutnya ustaz ini (Ramlang) diberi penghormatan".
Sebaliknya, kata Ahmad Nizam, beliau amat menghormati Ramlang kerana beliau adalah seorang yang baik.
Ketika dihubungi hari ini, Ramlang berkata, beliau tidak dapat memberi sebarang kenyataan pada masa ini.
"Apa-apa, boleh berhubung dengan peguam saya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan