Khamis, 4 September 2008

Politik ugut Abdullah untuk sekat kerajaan baru
Haji Mahfuz Omar (*)


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memandang serius kenyataan Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawaan 2009 yang bertegas tidak akan melepaskan kerajaan kerana mandat telah diberikan rakyat kepada BN.

PAS berpandangan kenyataan ini adalah lambang sikap tidak demokratik Abdullah Badawi yang tidak mahu mengakui bahawa beliau sudah kehilangan kepercayaan parlimen untuk terus mengetuai kerajaan.

Jadi pendekatan yang berbau ugutan cuba digunakan ke atas wakil rakyat yang berhasrat meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru.

Kenyataan Pak Lah untuk terus mempertahankan kerajaannya itu telah ditafsirkan oleh pemerhati politik bahawa beliau akan menggunakan undang-undang darurat untuk mengisytiharkan MAGERAN atau membubarkan parlimen jika BN kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.

Ini merupakan satu amalan politik yang tidak sihat dan terlalu gilakan kuasa. Apabila seseorang perdana menteri sudah tidak diyakini oleh penyokong sendiri, mereka mesti berundur, bukannya mengugut wakil rakyat supaya tidak melakukan sesuatu.

Bahkan, tindakan mereka yang hendak berhijrah " melompat " parti adalah suatu yang demokratik jika ia dilakukan dengan tujuan yang baik. Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah supaya wakil mereka membela kepentingan rakyat, dan wakil-wakil rakyat BN mendapati BN bukanlah wadah untuk membela rakyat, sebaliknya untuk kroni dan keluarga Perdana Menteri. Untuk melaksanakan mandat rakyat mereka perlu berhijrah kepada Pakatan Rakyat dan meninggalkan BN.

Pak Lah cuba juga menggambarkan bahawa beliau berupaya untuk mendaruratkan negara ini atau membubarkan parlimen, sedangkan ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Pak Lah seolah-olah cuba memberi tahu rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju dengan caranya dan Baginda akan tunduk dengan kehendak beliau.

PAS percaya bahawa Tuanku tidak akan mudah diperalatkan oleh BN dan PAS sangat berharap supaya Tuanku boleh memainkan peranan penting dalam menamatkan krisis politik ini.

BN cuba menjadi Yang di-Pertuan Agong sebagai alat politik mereka dengan menyuruh Tuanku membubarkan parlimen. Perkara ini tidak akan berlaku kerana Baginda terkenal dengan kebijaksanaan dalam pentadbiran seperti yang berlaku dalam krisis politik di Terengganu selepas pilihan raya lalu.

Tidak menjadi satu kesalahan untuk bertukar parti kerana ia adalah hak setiap wakil rakyat.

Tidak munasabah untuk seorang wakil rakyat berdegil dengan partinya walau tahu partinya sudah rosak. Bahkan, Umno/BN sendiri sudah beberapa kali melakukan perkara yang sama dalam menjatuhkan kerajaan.

Pada 1961, Umno membeli wakil rakyat PAS untuk menjatuhkan kerajaan PAS Terengganu. Pada 1967, Umno melakukan sekali lagi di Kelantan, tetapi gagal. Kemudian pada 1994, kerajaan PBS di Sabah dijatuhkan dengan cara yang sama.

Adakah apabila giliran Umno melakukannya ia adalah demokratik, apabila parti lain yang ingin menjatuhkan BN demi untuk perubahan masa depan negara, maka ia dianggap tidak demokratik.

Jika demikian mengapa Umno/BN melakukannya di Kelantan pada 2004 dan Tajol Rosli melakukan di Perak menjelang 31 Ogos baru-baru ini?

Umno bertegas bahawa perbuatan memujuk wakil rakyat BN ini suatu perkara yang tidak bermoral, tetapi mereka sendiri melakukannya. Bukankah Umno juga berusaha memujuk PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dan menyokong BN dalam isu muzakarah.

Bermoralkah Umno? Umno patut menilik pada diri sendiri sebelum mengatakan tindakan orang lain sebagai tidak baik. Pakatan Rakyat memujuk wakil BN berpindah kem adalah untuk kebaikan rakyat setelah BN terbukti gagal membela kepentingan rakyat. Sedang BN membeli wakil rakyat pembangkang untuk kepentingan dan survival politik sempit mereka.

PM juga sedang melakukan ugutan dengan menakutkan wakil rakyat BN. PM ini berusaha untuk melakukan ugutan yang baru iaitu melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Dua agensi kerajaan ini sudah diarah untuk menyiasat mana-mana wakil rakyat yang terlibat dengan rasuah atau melarikan diri daripada membayar cukai. Mereka akan didakwa jika cuba melompat daripada BN.

Persoalannya, apakah apabila seseorang itu kekal dengan BN, dia mempunyai imuniti daripada undang-undang, sedang bila keluar sahaja, maka undang-undang akan berkuat kuasa ke atasnya.

Inikah yang dikatakan keadilan untuk rakyat? BN bukan sahaja mengugut wakil rakyat mereka demi kelangsungan kuasa Pak Lah, tetapi turut memermain-mainkan undang-undang.

Kerana itu, wakil rakyat BN yang ingin menyertai Pakatan Rakyat, mereka mesti melakukan dengan segera supaya kerajaan BN terus tumbang dan tidak lagi dapat memperalatkan jentera kerajaan untuk kepentingan politik mereka.

PAS berharap kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dapat memainkan peranan untuk melindungi wakil-wakil rakyat BN yang ingin berhijrah ke Pakatan Rakyat bagi menjayakan pembentukan kerajaan baru bagi negara Malaysia yang lebih bertanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negara dan prihatin terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat.

(*) Ahli Parlimen Pokok Sena,
Ketua Penerangan PAS Pusat. _

Tiada ulasan: