Selasa, 25 Disember 2018

Rozan buat u-turn, tak jadi letak jawatan

MALAYSIAKINI


   

Belum sampai 24 jam tempoh diberikan bekas anggota parlimen Batu, Tian Chua, Naib Ketua PKR cabang Batu Rozan Azen Mat Rasep menarik balik peletakan jawatan sebagai setiausaha anggota parlimen kawasan itu.

Malah, Rozan berkata beliau juga memohon maaf kepada Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran kerana membuat keputusan terburu-buru meletakkan jawatan tersebut sebelum ini.

"Saya memohon maaf kepada masyarakat awam sekiranya isu ini telah menyusahkan atau mengakibatkan salah faham berlaku antara mana-mana pihak terutamanya para penduduk - pengundi parlimen Batu yang amat saya hargai sokongan dan selalu hormati nasihat mereka.

"Saya juga dengan ini memohon maaf kepada majikan saya anggota parlimen Batu, P Prabakaran seandainya tindakan dan pengumuman peletakan jawatan saya itu dibuat secara terburu-buru dan telah mendatangkan kesusahan dalam apa-apa keadaan dan implikasi," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sabtu lalu, Rozan mengumumkan peletakan jawatannya atas alasan tiada persefahaman dan campur tangan pihak ketiga.

Turut dapat nasihat Anwar

Prabakaran bagaimanapun mendakwa beliau tidak pernah melantik Rozan sebagai setiausahanya, selain menyifatkan Rozan sebagai "tidak boleh ditegur".
Ini memaksa Tian Chua hari ini campur tangan dan menggesa pertelingkahan kedua-dua individu itu dihentikan segera dalam tempoh 24 jam.

Menurut Rozan, tindakan menarik balik peletakan jawatannya sebagai setiausaha Prabakaran juga dibuat atas nasihat Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang mahu perkara itu diselesaikan dengan cara terbaik.

"Penarikan balik pengumuman peletakan jawatan saya ini juga dibuat setelah mengambil kira desakan - rayuan sejumlah besar orang awam terutamanya dari kawasan Parlimen Batu yang telah dimaklumkan dan diterima oleh saya.

"Keseluruhannya mahukan saya kekal berkhidmat di parlimen Batu dengan jawatan - tugasan yang ditelah disandang oleh saya itu sejak tahun Januari 2010 hinggalah kini (di bawah dua anggota Parlimen yang berturutan)," kata aktivis tegar PKR itu.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Prabakaran untuk mengetahui status sebenar mengenai jawatan Rozan.


Tiada ulasan: