Jumaat, 28 Disember 2018

‘Pejabat Mahathir tutup, KJ tak jadi serah borang’

MALAYSIAKINI





Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin terus “menganjing” beberapa pemimpin kerajaan Pakatan Harapan.

Hari ini, menerusi catatannya di halaman Instagram, bekas ketua Pemuda Umno itu memuatkan sekeping gambarnya di hadapan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi.

“Ke hadapan nenekanda Tun, Cucunda mai dari jauh nak serah borang. Kalakian harapan tinggi bersalaman nenekanda Tun.

“Namun, bagai kaca terhempas ke batu nenekanda Tun bercuti hari ini. Terus tak jadi,” tulisnya.
 Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Khairy jelas cuba “menganjing” Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga adalah ahli parlimen Langkawi.

Pemimpin Umno itu juga tidak menghuraikan sama ada borang yang dimaksudkan atau borang keahlian menyertai Umno atau sebaliknya.

Hari Jumaat dan Sabtu juga adalah hari cuti umum di negeri Kedah.

Bersatu, atau nama pendaftaran rasminya Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ditubuhkan pada September 2016 oleh Mahathir dan beberapa pimpinan Umno yang meninggalkan parti itu selepas hilang keyakinan dengan perjuangannya.

Bersama, tiga anggota Pakatan Harapan, PKR, DAP and Amanah, Bersatu mencipta sejarah apabila gabungan itu menumbangkan BN pada PRU14 bagi membentuk kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, selepas mengalahkan BN, pemimpin Bersatu dilihat telah menerima ahli-ahli Umno termasuk beberapa pemimpin dalam parti itu. Ia suatu perkembangan yang menimbulkan kesangsian sesetengah pihak bahawa Bersatu berubah menjadi versi kedua Umno.

Perkembangan terbaru ini menyebabkan Umno kini memiliki 38 kerusi parlimen berbanding 54 yang dimenangi PRU lalu.

Khairy juga dipercayai menggunakan “bahasa lama” bagi menyindir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof dalam suratnya kepada Nurul Izzah Anwar yang mendapat perhatian meluas.

“Warkah dari Codova untuk Nurul Izzah” itu yang mencuri perhatian kerana penggunaan kata ganti nama kekanda dan adinda itu diajuk meluas di alam maya, termasuk oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Menjelaskan perkara itu, Mujahid berkata beliau sengaja memilih lenggok bahasa yang kedengaran agak mendayu bagi menyampai mesej kepada anggota parlimen Permatang Pauh.

Mujahid, Selasa lalu, yang dalam perjalanan dari Cordova ke Madrid, Sepanyol menulis surat terbuka kepada Nurul Izzah yang dipaparkan kepada umum di Facebook beliau.

Dalam warkah sepanjang 25 perenggan itu Mujahid memanggil Nurul Izzah sebagai adinda dan membahasakan diri beliau sebagai kekanda.

Berikutan itu, beliau mendapat sindiran hebat di laman sosial termasuk Najib yang menganggap surat Mujahid kepada Nurul Izzah sebagai “drama”.


Tiada ulasan: