Jumaat, 28 Disember 2018

PAS tiada masalah Waytha diganti pemimpin India lain

THE MALAYSIAN TIMES
 


KOTA BHARU- PAS tiada masalah sekiranya P.Waythamoorthy digantikan dengan pemimpin India yang lain asalkan dapat menjalankan kewajipan dengan sebaik mungkin.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata desakan parti itu agar Waythamoorthy meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Menteri bukan bersikap perkauman namun kerana kegagalan beliau menjalankan tugas dengan berkesan.

“Kita desak beliau letak jawatan bukan sebab beliau pemimpin (berbangsa) India tapi kerana kegagalan dia (menjalankan tugas). Kalau kaum lain pegang dan gagal berfungsi untuk mewujudkan perpaduan (dalam negara) kita juga akan minta pemimpin berkenaan letak jawatan.

“Kita bukan rasis dan pada masa yang sama, kalau ada pihak yang membangkitkan isu perkauman kita juga tak setuju. Ini soal kegagalan sebagai Menteri Perpaduan sebab itu dalam kenyataan kita sebelum ini beliau perlu letak jawatan dan kalau digantikan dengan pemimpin India lain pun kita tak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi bekas penjaga gol kebangsaan, Awang Essa, 72, yang terlantar sakit kerana masalah tulang belakang sejak aawal tahun ini di kediamannya di Jalan Raja Dewa Hilir di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata justeru itu PAS berpendapat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menilai kembali prestasi Waythamoorthy dalam hal tersebut agar ia tidak menjadi ‘barah’ dalam masyarakat.

“Waythamoorthy tidak dapat merangka (pelan) perpaduan sebenar untuk memastikan perpaduan dapat dicapai. Saya kira Tun Dr Mahathir perlu beri penilaian secukupnya dan lebih 300,000 rakyat (yang menandatangani petisyen) kata dia dah gagal. Ini bukan soal perkauman lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PPBSM) memohon agar Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk melihat aspek kebajikan terhadap bekas pemain terutama yang kini sedang terlantar sakit.

Beliau berkata Syed Saddiq perlu memberi tumpuan terhadap Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (YAKEB) yang kini tidak lagi mampu berperanan menjaga kebajikan bekas atlet berikutan tidak mempunyai dana yang mencukupi.

“Saya minta kerajaan hari ini terutamanya Menteri Belia dan Sukan dapat melihat kembali aspek kebajikan kepada bekas atlet negara kerana mereka ini kebanyakannya dalam keadaan tidak terbela sehingga ada yang menjadi gelandangan.

“Saya kira kerajaan negeri pun ada bagi sedikit peruntukan untuk kebajikan bekas atlet jadi kita harap perkara ini mendapat perhatian daripada Syed Saddiq,” katanya. —Bernama

Tiada ulasan: