Rabu, 26 Disember 2018

PAS sedia bersama parti lain asalkan umat Islam memerintah



PAS bersedia mendukung mana-mana parti lain bagi membentuk kerajaan, asalkan umat Islam terus memerintah Malaysia, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, adalah tidak wajar bagi Malaysia yang penduduknya terdiri daripada 65 peratus umat Islam, tetapi pemerintahannya didominasi oleh bukan Islam.

Beliau membuat kenyataan demikian ketika sesi soal jawab bersama warga Malaysia pada program ‘An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang” di Dublin, Ireland, kelmarin. Berita mengenainya dilaporkan dalam Harakan hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak merujuk kepada mana-mana parti, khususnya di dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang sekarang didominasi bukan Islam, walaupun Perdana Menteri adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau turut menegaskan langkah memastikan umat Islam terus memerintah Malaysia bukan kerana fanatik perkauman, sebaliknya Nabi Muhammad telah memberi pengajaran dalam hadis ‘pemimpin daripada Quraisy’ bahawa dalam politik Islam, kabilah dominan mesti memimpin.

“Islam adalah syarat kaum yang mendominasi, ini sangat penting. Kerana pemimpin dipatuhi, mesti didukung oleh kaum yang paling kuat dalam kalangan orang Islam,” katanya.

Menjawab soalan mengenai kesediaan bersama UMNO, Abdul Hadi menjelaskan bahawa PAS pernah bersama parti itu menuntut kemerdekaan dan dalam Kerajaan Campuran 1973 serta Barisan Nasional pada 1974 dengan bersyarat.

Katanya, PAS sedia memungut mereka yang lari dari kapal lama untuk bersama PAS, tetapi tidak untuk kerjasama dengan UMNO kerana dasarnya berlainan di mana PAS mahu Islam memerintah, bukan diperintah.

“Ini masih tak ada titik pertemuan hingga hari ini. Namun bila kerajaan terdesak, kita boleh kerjasama, sekadar dalam perkara yang baik. Di ambang pilihan raya PAS diajak sertai kerajaan, kita tolak.

“PH juga ajak kita sertai kerajaan, kita tolak kerana kita pernah kerjasama dengan mereka. Kita buat gagasan sendiri dan berjaya menguasai Kelantan, Terengganu dan menjadi parti paling besar di Kedah.

“UMNO sekarang mengalami kebocoran bahtera. Kaedah kita orang pergi laut, kalau bahtera bocor kita pergi dekat, bahtera kita pun boleh tenggelam sama. Nak gabung dengan parti bocor ini satu benda yang sulit dan payah.

“Dan UMNO ini ada penyakit dan masalah dia. Adapun mengata Umno di Alam Barzakh, maka tidak mudah. Parti Komunis yang diharamkan pun masih ada. Parti Hitler masih ada pengikut. Syaitan pun ada pengikut,” katanya.

Tiada ulasan: