Rabu, 26 Disember 2018

MP Pasir Mas: 'Amanat Kit Siang' lebih bahaya dari Amanat Hadi

AHMAD FADHLI SHAARI

 
Saya membaca tulisan Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di blognya yang mempertikaikan ucapan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Muhammad Khalil Abdul Hadi berhubung hukum bagi orang Islam menyertai perayaan hari Krismas.

Saya juga menonton rakaman video kuliah Muhammad Khalil yang disiarkan oleh Malaysiakini dan dijadikan tajuk berita beberapa portal online.

Ringkasnya, berhubung sambutan krismas, Muhammad Khalil menyatakan tiga perkara penting:

1. Diharamkan kepada umat Islam menyertai perayaan hari Krismas yang mengandungi unsur-unsur syirik kerana Krismas ialah merupakan perayaan agama. Akidah Kristian yang berkonsepkan triniti jauh berbeza dengan akidah Islam yang mentauhidkan Allah SWT.

2. Berhubung hukum mengucapkan selamat Hari Krismas, Muhammad Khalil menyatakan, “Adapun jika kita nak ucap kepada mereka, ada ulama kata, di sana ada tempat yang diizinkan pada had dan batas yang tertentu. Contohnya kalau jiran kita orang Kritsian, tak apalah kita rai ke dia, cakap ke dia, selamat hari raya mung lah…”

3. Manakala berhubung mengucapkan selamat Hari Krismas pada situasi yang tiada keperluan, beliau menyatakan, “Adapun kalau kita saja-saja nak sebut hari ni kan, dalam Facebook atau Twitter, pergi sebut “kita mengucapkan selamat Hari Krismas, selamat hari raya untuk orang Kristian, jangan seolah-olah kita redha dengannya..”

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengulas pandangan ketua Pemuda PAS itu dengan menulis,
 _“Malaysians are presented with the most shocking example of the vicious and toxic politics of lies, hate, fear, race and religion to destroy Malaysia as a tolerant, harmonious and successful plural nation of diverse races, religions, languages and cultures with the primitive warning by the PAS Youth leader and son of PAS President, Mohamad Khalil Abdul Hadi to Muslims not to celebrate Christmas tomorrow or to post Christmas greetings on Facebook because the Christian celebration is against the teachings of Islam and that there should be any acknowledgement of the Christian religion..”

Saya nampak bahawa Lim sedang memperlihatkan kebimbangannya yang teramat sangat kepada PAS sehingga menabur tohmahan sedemikian rupa.

Jelas sangat ketakutannya kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang apabila tanpa segan silu terus mendakwa bahawa pandangan ketua Pemuda PAS itu ialah kerana terkesan dengan apa yang dinamakannya sebagai Amanat Hadi 2 apabila dia menulis, _“Is this to be Hadi Amanat 2 to spearhead the vicious and toxic politics of lies, hate, fear, race and religion to destroy Malaysia as a tolerant, harmonious and successful plural nation of diverse races, religions, languages and cultures?

Ulama berbeza pandangan
Apa yang salahnya dengan isi kuliah Muhammad Khalil tersebut? Jika pada isi yang pertama iaitu orang Islam dilarang menyertai perayaan agama Kristian, ia sudah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini di mana jelas menyatakan bahawa adalah haram bagi umat Islam menyertai perayaan agama lain jika mengandungi unsur syirik.

Lim Kit Siang boleh membuka pautan laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menyebut:

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. 
 
"Muzakarah telah memutuskan bahawa dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;
 
1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
Contohnya;

i. Menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
ii. Menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
iii. Meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
iv. Memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.
v. Tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam."
Adakah Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan kerana terpengaruh dengan Amanat Hadi? 
Bahkan Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin juga menyatakan perkara yang sama pada tahun 2010 dengan menulis:

“Namun, seorang muslim tidak boleh turut merayakan hariraya agama lain. sebabnya, perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hariraya kita. 
 
Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hariraya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain…”

Adakah Mufti Perlis sedang terkesan dengan Amanat Hadi?

'PH gagal sekolahkan Lim'
Isi kuliah yang kedua, berhubung mengucapkan selamat Hari Krismas. Muhammad Khalil telah menyatakan dengan jelas dan terang bahawa terdapat pandangan berbeza para ulama berhubung isu ini. 

Bahkan beliau menyebut dengan jelas kesederhanannya berhubung perkara ini apabila menyatakan situasi di mana jiran kita orang Kristian, tiada masalah mengucapkan tahniah di atas kegembiraannya hari ini dengan tidak beriktikad kebesaran hari Krismas. 

Manakala pada perkara yang ketiga iaitu mengucapkan selamat Hari Krismas pada situasi yang tiada keperluan, di sinilah beliau mengajak para pendengar agar berhati-hati dan mengelakkan perkara tersebut kerana dibimbangi terlibat dengan unsur membesarkan Hari Krismas.

Di tengah-tengah ramai mufti yang membolehkan ucapan tersebut dengan pesanan agar tidak membesarkan Hari Krismas, bukan tidak ada cendekiawan Muslim yang menegah terus ucapan tersebut dan mereka tentu sekali bukan terpengaruh dengan Amanat Hadi.

Saya sertakan pautan petikan kuliah Dr Kamilin Jamilin untuk diikuti dengan Lim yang sama sekali tidak bertolak ansur berhubung haramnya mengucapkan Selamat Hari Krismas. Saya yakin ramai mengenali beliau sebagai seorang yang tidak menunjukkan kecenderungan jelas kepada PAS.

Jika saya sertakan pandangan daripada tokoh agamawan yang kelihatan pro-PAS, sudah pasti secepat kilat pengikut Lim akan segera menyatakan bahawa mereka semua terpengaruh dengan Amanat Hadi.
Kesimpulannya, terdapat perbezaan pandangan para ulama di dalam isu ini. Tidak mengucapkan selamat hari Krismas tidak menyebabkan anda kurang bertoleransi dan mengucapkannya pula tidak berhak untuk dilabel sebagai "kurang Islam".

Seorang muslim yang berpegang kepada satu nilai yang berada dalam ruangan khilaf sudah tentu tidak berhak menyatakan muslim lain yang berbeza sebagai kurang agamanya.

Dalam hal ini, percubaan Lim agar PAS melabel Presiden Turki sebagai ‘kurang Islam’ adalah satu percubaan yang menampakkan kejahilannya dan kegagalan kawan-kawannya dalam Pakatan Harapan untuk ‘menyekolahkannya’ berhubung adab berkhilaf.

Sebenarnya, tujuan utama Lim Kit Siang ialah mengaitkan ketua Pemuda PAS dengan Amanat Haji Hadi, itu sahaja.

Kerana itu, dikaitkan pula dengan penentangan PAS terhadap ICERD, membuktikan nyawa ICERD masih lagi hidup.

Saya ingin menyebut, jika demikian saya boleh kaitkan, kebebalan menteri kewangan dalam isu-isu ekonomi sehingga salah titik perpuluhan dan sebagainya, adakah disebabkan 'Amanat Kit Siang'?

Lim tidak sempat mengajar anaknya Matematik yang betul kerana sibuk berpolitik dari zaman muda?
Saya tahu ia kedengaran kasar, demikianlah juga kasarnya bahasa dan niat Lim dalam tulisannya itu.

Adakah tulisan di dalam blog rasmi DAP seperti ini berhubung hak kesamarataan di antara bumiputera dan bukan bumiputera juga adalah hasil Amanat Kit Siang?

Dalam erti kata lain, cita-cita DAP secara rasminya ialah menghapuskan sama sekali istilah dan keistimewaan bumiputera dan menjadikan seluruh warga negara Malaysia sama dari sudut hak?

Bukankah Lim sendiri pada 25 Januari 1969 telah berkata: “Kita akan terus menekan ke arah kesaksamaan kaum, di mana semua warganegara adalah sama, di mana tidak ada perbezaan di antara bumiputera dan bukan bumiputera".

Sehingga ke hari ini, Lim masih belum menarik balik atau menafikan kandungan ucapannya itu, dan bolehlah dinyatakan bahawa 'Amanat Kit Siang’ sebenarnya lahir jauh sebelum Amanat Hadi.

Saya tetap berpandangan bahawa 'Amanat Kit Siang' jauh lebih merbahaya, bahkan dengan DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan. 'Amanat Kit Siang' sedang dilaksanakan sedikit demi sedikit.

Cuma barangkali kerana takutnya kepada presiden PAS, tetap mulutnya tidak berhenti meratib Amanat Hadi, bahkan jika Lim tersedar dari tidur sekalipun kerana mimpi buruk, Amanat Hadilah yang akan dipersalahkannya.


*AHMAD FADHLI SHAARI merupakan anggota parlimen Pasir Mas.
 
 

Tiada ulasan: