Ahad, 30 Disember 2018

Giliran Anwar 'dimuziumkan' Azmin

 
   
ULASAN | Seorang kawan saya berbangsa Cina, suatu hari bertanya kepada saya berkenaan Azmin Ali. Saya menyatakan, andai kamu orang Cina berbangga dengan kehebatan Sun Tzu dalam seni perang, kami dari kalangan orang Melayu ada Azmin Ali.

Antara hujah saya, Sun Tzu pernah mengeluarkan teori menarik dalam perang, iaitu kemampuan membunuh musuh politiknya menggunakan pisau musuh. Demikian juga kelebihan pada politik Azmin.

Semasa Khalid Ibrahim menjadi menteri besar, orang yang mula-mula bangkit keraguan terhadap pengurusan kewangan kerajaan Selangor adalah Azmin.

Tetapi, pada masa itu, orang tidak ambil peduli sangat. Akhirnya, yang berkempen untuk jatuhkan Khalid adalah Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution.

Lebih menarik, walaupun nak dicadangkan nama lain sebagai menteri besar Selangor selepas kejatuhan Khalid, tetapi yang jadi menteri besar adalah Azmin.

Rafizi dan Saifuddin pula terpalit dengan "kotoran" serangan terhadap Khalid.

'Kebijaksanaan Azmin'

Kebijaksanaan politik cara Azmin lebih terserlah, apabila beliau pandai memposisikan diri dan pandai mengambil peluang untuk keuntungan politik beliau, selain bijak memanfaatkan testimonial untuk kelangsungan politik beliau.

Kalau kita mahu melariskan barang jualan kita, antara mekanismanya adalah testimonial. Iaitu, barangan kita dipegang oleh seorang artis terkenal. Demikian juga, kebijaksanaan Azmin dalam testimonial politik, iaitu beliau selalu mengungkapkan bahawa beliau adalah orang yang paling setia dengan Anwar.

Dengan ungkapan itu, beliau semakin berjaya membina keyakinan ahli PKR terhadap karakter dirinya.

Bukan sekadar dalaman PKR, malahan setelah beliau menjadi menteri hal ehwal ekonomi, beliau cuba buktikan kepada awam bahawa beliau ada kelebihan berbanding Anwar.
Itu dapat dilihat dalam ucapan beliau dalam parlimen dan sebarang ucapan beliau yang dihadiri Anwar sama.

Kebijaksanaan Azmin dalam politik juga dapat dilihat, apabila beliau amat pandai untuk menentukan masa bila nak bercakap, dan masa bila dia perlu berdiam diri. Ini berbeza dengan Anwar dan Rafizi.

Sebab itu, semasa pemilihan sedang berlaku - Rafizi melawan Azmin - beliau banyak diam. Apabila Rafizi banyak sangat bercakap menyebabkan lahir persepsi bahawa Rafizi kelihatan seperti meroyan.
Dari satu sisi, beliau berjaya mencipta imej buruk pada musuh politik beliau.

'Anak Ibrahim seterusnya'

Selepas beliau diumumkan menang jawatan Timbalan Presiden PKR, ucapan beliau nampak macam sindir Rafizi, tetapi sebenarnya beliau sindir Anwar. Kita dapat dengar, apabila nada suara beliau agak lain sikit ketika sebut pada nama "Ibrahim".

Yang lawan beliau dalaman parti yang kalah, semuanya berbinkan Ibrahim - Khalid Ibrahim dan Zaid Ibrahim. Bermakna, yang bakal kalah lepas ini adalah Anwar Ibrahim. Tetapi, dia sebut nama Rafizi kerana dia amat halus dalam menyindir.

Azmin tak akan mahu musuh beliau dari kalangan orang yang banyak mulut. Maka dengan sebab itu, semalam beliau nyatakan yang beliau tak setuju Rafizi berada dalam jawatankuasa tertinggi PKR.

Mungkin kita kata beliau tak suka berdebat, tetapi sebenarnya, beliau tak mahu masa beliau terbuang dalam agenda melaksanakan apa yang beliau mahu.

Semasa pemilihan PKR berlaku, beliau kata beliau tak ada masalah bekerjasama dengan Rafizi. Itu ucapan politik beliau sahaja. Sepertimana ucapan politik beliau yang beratus kali beliau kata, beliau setia dengan Anwar.

Dalam jangka masa yang begitu lama, beliau sudah berjaya membina pengaruh dalaman PKR. Lebih menarik, apabila beliau berjaya mengurangkan rasa hormat dan pengaruh Anwar dalam PKR.

Dia berjaya menampilkan beberapa sikap Anwar yang akhirnya, kelemahan Anwar dilihat ramai. Kejayaan itu amat terserlah, apabila sudah ada serangan terbuka yang dilakukan oleh beberapa pemimpin PKR terhadap Anwar. 

Dengan bantahan beliau semalam, itu lambang beliau dah bersedia untuk menunjukkan perlawanan beliau terhadap Anwar.

Anwar kena ingat bahawa dia bakal dihabiskan oleh Azmin. Dua anak Ibrahim (Khalid Ibrahim dan Zaid Ibrahim) telah dia muziumkan. Kini tinggal satu lagi anak Ibrahim yang perlu dia muziumkan, iaitu Anwar.

Di atas kertas, calon perdana menteri adalah Anwar. Tetapi dari sudut perancangan tersusun, Azmin adalah perdana menteri Malaysia selepas Mahathir.

Sebelum ini, perdana menteri yang paling lama adalah Mahathir, iaitu semasa menjadi perdana menteri keempat.. Selepas ini, PM yang paling lama adalah Azmin. Kalau Anwar nak selamat, dia lawan Azmin itu sendiri memberi bahaya pada masa depan politik Anwar. 

Sebelum ini, saya tulis berkenaan PKR, pasti akan ada pemimpin PKR pesan kepada saya yang saya terlalu baru dalam PKR. Jadi tak layak tulis berkenaan PKR. Saya harap, dengan tulisan ini, tidak ada pemimpin PKR yang pesan macam itu pada saya lagi.


*WAN JI WAN HUSSIN merupakan pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre. 

 

Tiada ulasan: