Ahad, 30 Disember 2018

Dasar kerajaan PH untuk golongan kaya?

Wartawan MalaysiaGazette
 xstats-681x435




KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa dasar-dasar baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan hanya melindungi golongan kaya dan penghuni bandar sahaja.

Katanya, keadaan itu dikhuatiri menyebabkan jurang pendapatan Malaysia mungkin bertambah besar, sekali gus mewujudkan keadaan ketidaksamaan lebih teruk di negara ini berbanding tempoh 10 tahun lalu yang mana mana jurang itu semakin mengecil.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ia berbeza dengan dasar kerajaan Barisan Nasional sepanjang 10 tahun lalu yang berjaya mengurangkan jurang pendapatan ini.

Menurutnya, Pendapatan Isi Rumah Kasar Bulanan Penengah bagi rakyat Malaysia telah meningkat 105 peratus daripada RM2,552 pada akhir tahun 2007 kepada RM5,228 pada akhir tahun 2016.
Datuk Seri Najib Razak
Najib Razak
Manakala kadar peningkatan untuk kaum Melayu pada tempoh yang sama ialah 118 peratus, bermakna pendapatan bagi kaum Melayu telah mengalami pertumbuhan lebih cepat dari kadar 105 peratus untuk semua rakyat Malaysia.

Jika pada tahun 2007 pendapatan kaum Melayu hanya 87.3 peratus daripada pendapatan bulanan purata untuk rakyat Malaysia, ini telah meningkat kepada 92.7 peratus pada tahun 2016.

Ini menunjukkan jurang pendapatan antara kaum Melayu dengan kaum-kaum lain telah bertambah rapat.

Katanya, data-data daripada Jabatan Statistik menunjukkan pendapatan penduduk luar bandar tidak mengikut kaum pula telah bertambah 103 peratus iaitu lebih tinggi dari kadar peningkatan 86 peratus untuk penduduk bandar.

Data-data tersebut menunjukkan jurang atau perbezaan pendapatan antara luar bandar dan bandar sudah berkurangan.

“Data rasmi dari Jabatan Statistik ini membuktikan jurang pendapatan antara kaum dan antara bandar dengan luar bandar boleh dikurangkan dengan dasar negara yang betul.

“Jika dasar kerajaan kita betul, semua kaum terus berusaha dan terus tidak malas, Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang maju, berpendaptan tinggi dan saksama.

“Saya bimbang jurang pendapatan Malaysia mungkin bertambah besar selepas ini dan mewujudkan keadaan ketidaksamaan lebih teruk di negara ini, berbanding tempoh 10 tahun lalu di mana jurang itu semakin mengecil,” ujarnya di sini. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: