Jumaat, 18 Mac 2016

Rumah: Tiada harga siling ditetapkan – Rahman

 
Kerajaan-kerajaan negeri sepatutnya memberi maklum balas berhubung harga rumah mampu milik supaya ia boleh diselaraskan seluruh negara


rahman


PETALING JAYA: Majlis Perumahan Negara belum menetapkan harga siling untuk rumah mampu milik, dedah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Ahli Parlimen Kota Belud itu dalam muatnaik di Facebook menjawab dakwaan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang mendakwa Pulau Pinang sekadar mengikut panduan Putrajaya berhubung harga maksimum rumah-rumah mampu milik.

Rahman menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak pernah menetapkan harga maksimum rumah mampu milik pada RM400,000 dan pelbagai kerajaan negeri diberi budi bicara mutlak untuk menetapkan harga.

Merujuk kepada kenyataan Guan Eng bahawa ucapan laporan ekonomi 2013/2014 dan ucapan belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri menetapkan harga jualan maksimum pada RM400,000, Rahman berkata angka itu merupakan harga siling maksimum untuk rumah PR1MA.

“Sebenarnya walaupun PR1MA dibenarkan untuk menjual rumah di paras harga maksimum RM400 ribu, namun, 84% unit rumah di bawah PR1MA tetap dijual di bawah RM300 ribu,” katanya, dan menambah ini menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengambil kesempatan daripada penetapan harga maksimum.

“Manakala baki 16% rumah PR1MA yang dijual pada harga RM300 ribu hingga RM400 ribu, adalah unit premier yang mempunyai saiz dalam lingkungan 1200 kaki persegi, yang mana jauh lebih besar dari yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu 900 kaki persegi.

“Jelas perbandingan ini tidak munasabah.”

Menurut Rahman, kerajaan Pulau Pinang menyedari dalam mesyuarat Majlis Perumahan Negara pada 21 Ogos 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta semua kerajaan negeri supaya melihat semula julat harga rumah mampu milik supaya ia boleh diselaraskan seluruh negara.

“Seterusnya pada 18 Januari 2016, Jawatankuasa Kerja Pemantauan (JKPKM), yang turut dihadiri oleh YB EXCO Perancangan Bandar & Desa Dan Perumahan Negeri Pulau Pinang, memutuskan supaya semua Kerajaan Negeri memperhalusi enam (6) syor yang dibincangkan iaitu, harga jualan rumah mampu milik, keluasan lantai, kelayakkan pendapatan isi rumah pembeli, spesifikasi minima, sekatan moratorium dan juga densiti pembangunan.”

“Dalam mesyuarat tersebut, Kerajaan-Kerajaan Negeri juga diarahkan untuk memberi maklumbalas kepada Kementerian untuk di bawa semula ke dalam Mesyuarat Majlis Perumahan Negara yang bakal diadakan pada bulan Ogos nanti bagi memudahkan proses pengharmonian harga tersebut.”

“Pendek kata, Majlis Perumahan Negara belum lagi memutuskan had maksimum harga rumah mampu milik untuk setiap negeri,” katanya, dan menambah tuduhan Guan Eng bahawa Putrajaya menetapkan harga maksimum RM400,000 merupakan satu penipuan yang bertujuan untuk melepaskan diri daripada dipertanggungjawabkan keatas dasar kerajaan Pulau Pinang.

Awal hari ini, Guan Eng menjawab Rahman dengan memanggilnya pembohong berhubung harga jualan maksimum rumah mampu milik.

Semalam, Rahman berkata Guan Eng telah berbohong mengenai kadar maksimum rumah mampu milik yang ditetapkan pada RM400,000, semasa beliau diminta untuk menjelaskan kadar berbeza-beza untuk rumah yang dianggap “mampu milik” antara negeri-negeri.

Hari ini, Guan Eng berkata Kerajaan Persekutuan yang menetapkan harga maksimum untuk rumah mampu milik.

Tiada ulasan: