Jumaat, 18 Mac 2016

Akhirnya Pas akui hudud boleh dikemudiankan, kata Pemuda Amanah

MALAYSIA DATELINE


Perlaksanaan hudud di Kelantan kembali hangat selepas Dun Kelantan meluluskan pindaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 pada Mac 2015.Perlaksanaan hudud di Kelantan kembali hangat selepas Dun Kelantan meluluskan pindaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 pada Mac 2015.


Pas akhirnya mengakui pelaksanaan hudud boleh dikemudiankan bagi melaksanakan agenda yang lebih besar terutama setelah mengadakan pakatan politik dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), 16 Mac lalu, kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak Mohd Fitri Asmuni.

Mohd Fitri AsmuniMohd Fitri AsmuniMenulis di laman facebook beliau, Mohd Fitri berkata, sumber-sumber daripada pemimpin Pas dan Ikatan sendiri mengakui bahawa perlaksanaan hudud boleh dikemudian, ditangguh atau dilaksanakan secara beransur-ansur mengikut lunas demokrasi dan kehendak rakyat.

Beliau memetik sumber Pengarah Media Baru Jabatan Penerangan Pas Pusat Syaiful Hizam, sidang media Presiden Pas dan Ikatan, penjelasan Ketua Dewan Ulamak Pas dan Ketua Penerangan Pas Pusat sebagai rujukan dalam membuat kesimpulan itu.

"Apabila ditanya oleh wartawan mengenai agenda utama Pas iaitu hudud selepas pembentukan blok ketiga semalam (kelmarin),
Presiden Pas menegaskan bahawa Pas akan lebih menumpukan kepada agenda umum iaitu memperkasakan perlembagaan yang ada pada hari ini.

"Kalau inilah pendirian Pas, maka inilah juga sebenarnya pendirian bekas pimpinan Pas yang kini menubuhkan Amanah.

Mereka tidak pernah menolak hudud. Mereka hanya berpandangan agar Pas menumpukan kepada agenda umum yang dipersetujui bersama dalam Pakatan Rakyat seperti isu rasuah, salahguna kuasa, ekonomi dan kemiskinan," ujar Mohd Fitri.

Bagaimanapun jelas beliau, Pas kini terpaksa menerima pakai pendirian yang dipegang oleh pimpinan Amanah mengenai hudud kerana 'mungkin mereka baru tersedar dari tidur' bahawa banyak lagi keutamaan yang harus diperjuangkan di negara ini berbanding hudud.
Menurutnya, jika sebelum ini pemimpin Pas dilihat menafikan kuasa rakyat dan peranan perlembagaan apabila berkata apa gunanya kemenangan di Putrajaya kalau tidak mendapat redha Allah, tetapi kini Pas terpaksa akur apabila Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menyerahkan isu perlaksanaan hudud kepada 'kehendak rakyat'.
Isu perlaksanaan hudud menjadi tumpuan utama media apabila Pas dan Ikatan membentuk perikatan politik.

Memberikan reaksi terhadap laporan media yang mempersoalkan pendirian Pas terhadap perlaksanaan hudud selepas membentuk blok ketiga, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, isu hudud telah dijadikan 'peluru' untuk menyerang dan merosakkan reputasi parti itu.

Bagaimanapun beliau yakin isu itu tidak akan memisahkan gandingan Pas dan Ikatan yang baru memulakan kerjasama politik.

"Pas memperingatkan semua pihak khasnya 'warlord' yang berada di belakang media tertentu agar tidak memecah belah dan melemparkan fitnah kepada Pas kononnya Pas kini meninggalkan prinsip perjuangan.

Sebaliknya prinsip perjuangan Pas akan terus dijulang dan dihormati oleh semua rakan seperjuangan," katanya.

Naib Presiden Pas Idris Ahmad dalam entri terbarunya di laman sosial berkata, walaupun tidak boleh melaksanakan enakmen jenayah syariah (di Kelantan), Pas telah mengadakan siri penerangan dan 'hari hudud' sehingga masyarakat termasuk orang bukan Islam memahami hukum hudud dan tidak merasa takut.

"Musuh Pas cuba gambarkan kononnya Pas hanya perjuangkan hudud sahaja. Soalah-olah Pas hanya bercakap soal hudud sahaja, tidak bercakap isu kepentingan rakyat.

"Jikalau Pas hanya perjuangkan hudud sahaja sudah tentu Kerajaan Kelantan tidak perkenalkan skim Kifalah, program It'am, pinjaman tanpa faedah, cuti bersalin 90 hari, rumah tiga bilik, memindah wang kerajaan kepada Bank Islam, cuti dua hari, mengharamkan judi, haramkan arak untuk orang Islam, al-Rahnu, orang perempuan tidak boleh gunting rambut lelaki.

"Akhirnya kerajaan pusat mengikut apa yang dirintis oleh kerajaan Kelantan. Yakin Islam untuk semua. Pas sentiasa evergreen," ujar Idris.

Tiada ulasan: