Ahad, 27 Mac 2016

Rakyat Selangor paling banyak guna air

Rakyat Selangor paling banyak guna air
Kira-kira 236 liter air digunakan setiap seorang rakyat Selangor dalam sehari.
KLANG - Rakyat Selangor direkodkan sebagai pengguna air terbanyak di Malaysia berbanding negeri lain dan Singapura.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kira-kira 236 liter digunakan setiap orang pada setiap hari.

“Saya tak tahu kenapa, mungkin orang Selangor suka mandi atau suka membazir?

“Kita seharusnya bertanggungjawab menggunakan air terawat kerana kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan negeri sangat tinggi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya lagi, sebanyak RM160 juta setahun diperuntukkan untuk menyediakan air terawat bagi memenuhi keperluan harian lima juta rakyat Selangor.

Tegasnya, jangan kerana dapat air percuma penduduk membazir dan tidak menggunakan ia dengan berhemah dan bertanggungjawab.

“Jika perkara ini berterusan ia akan memberi kesan kepada ekonomi negeri dan rakyat Selangor sendiri,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan rakyat supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan air terawat yang diberikan secara percuma untuk memenuhi kepentingan peribadi.

Ramai yang menggunakan air terawat untuk mencuci kereta, berkebun dan mengisi kolam renang sewenang-wenangnya.

“Sepatutnya kita gunakan air hujan yang mewah dan banyak di negara kita untuk ditakung bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri memberikan air percuma untuk meringankan beban rakyat dan bukan untuk dibazirkan.


Tiada ulasan: