Rabu, 9 Mac 2016

Kaji sebelum ambil bekas tentera Sri Lanka

Sri Sanjeevan
Sri Sanjeevan
 
 
SHAH ALAM - Kerajaan di saran untuk menjalinkan kerjasama dengan persatuan pesara atau persatuan bekas anggota keselamatan seperti tentera dan polis bagi menawarkan khidmat jawatan sebagai pengawal keselamatan.
Pengerusi NGO anti jenayah (MyWatch), Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan berkata, cadangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang mahukan agar bekas tentera Sri Lanka dijadikan pengawal keselamatan merupakan langkah kurang bijak khususnya ketika pelbagai pihak mahukan pekerja asing di negara ini dikurangkan.
“Bekas tentera Sri Lanka ini bukanlah pihak yang layak dijadikan pengawal keselamatan kerana mereka sebenarnya merupakan 'penjenayah perang'.

“Mereka ini terlibat dalam pembunuhan puluhan ribu manusia tidak berdosa di utara Sri Lanka di dalam perang antara pihak yang menuntut kemerdekaan iaitu Tamil Eelam dan tentera kerajaan Sri Lanka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Sanjeevan memaklumkan bahawa kerjasama dengan persatuan pesara atau persatuan bekas anggota keselamatan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja warga asing.

Tambahnya, anak muda yang tercicir dalam pelajaran juga ramai berminat untuk menjadi pengawal keselamatan sekiranya gaji yang ditawarkan munasabah dengan kos sara hidup kini.

“Bekas anggota keselamatan negara juga sudah biasa dengan aktiviti lasak dan mempunyai kemahiran sebagai seorang anggota keselamatan.

“Sudah tiba masanya kerajaan memberi galakan kepada syarikat keselamatan supaya mengajikan rakyat Malaysia sebagai pengawal keselamatan.

“Usaha ke arah ini akan lebih berjaya sekiranya kerajaan turut berkeras dalam mengenakan hukuman kepada syarikat keselamatan yang menggajikan pekerja asing tanpa izin sebagai pengawal keselamatan,” katanya.


Tiada ulasan: