Jumaat, 25 Mac 2016

Dr M: Saya terkesan dengan penyalahgunaan Najib

Hafiz Yatim





Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa beliau secara peribadi terjejas dengan dakwaan proses hukum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam penyata tuntutan 37 muka surat itu, beliau dan dua lagi pihak lain yang memfailkan sama ke atas perdana menteri, Mahathir berkata siasatan polis terhadapnya dan penyingkirannya sebagai penasihat Petronas adalah contoh penyalahgunaan itu.

Mahathir berkata, beliau secara terbuka mengisytiharkan penarikan balik sokongannya kepada Najib dan membidas perdana menteri kerana “penyalahgunaan proses hukum” semasa perhimpunan BERSIH 4, tahun lalu.




“Berikutan itu, saya telah disoal-siasat oleh polis pada 6 November, di mana polis turut mengesahkan bahawa saya pada ketika itu sememangnya disiasat atas tuduhan kononnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat fitnah ketika kehadirannya dalam perhimpunan BERSIH 4.0.

“Saya juga sering dan berterusan menulis di weblognya di www.chedet.cc di mana saya menyuarakan teguran dan bidasan terhadap salah laku Najib dalam isu 1MDB dan skandal-skandal berkaitan,
termasuklah pemberhentian mengejut dan mendadak Peguam Negara pada ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail dan perlantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai penggantinya.

“Dalam satu tulisan, saya menyatakan bahawa Apandi tiada kredibiliti bagi melepaskan Najib daripada sebarang tuduhan jenayah dan salah laku yang timbul daripada siasatan terhadap salah laku jenayah berkaitan RM2.6 bilion dan jumlah-jumlah lain daripada SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun-akaun peribadi bank Najib Razak,” katanya.

Semenjak itu, Mahathir berkata, beliau sekali lagi dituduh memfitnah Apandi dan diambil keterangan oleh polis pada 24 Februari lalu.

Mengenai Petronas, beliau memetik keputusan kabinet untuk menyingkirkannya dari jawatan itu.

“Pada 11 Mac lalu, Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan suatu kenyataan bahawa memandangkan saya kini tidak lagi menyokong pentadbiran kerajaan yang memerintah kini, maka kabinet sebulat-suara memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan saya sebagai penasihat Petronas,” katanya.

Mahathir bersama bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Umno Langkawi Anina Saadudin menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta kerana kemungkiran kewajipan fidusiari dan salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam.

Tiada ulasan: