Khamis, 24 Mac 2016

Akhbar arus perdana 'tak hirau' Mahathir saman Najib

MALAYSIAKINI




Sebahagian besar akhbar arus perdana hari ini memilih untuk tidak memberi liputan berhubung saman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, mereka memilih untuk memberi tumpuan kepada jawapan daripada pemimpin parti pemerintah berhubung tuntutan mahkamah itu.

Antara akhbar itu termasuk New Straits Times (NST), Berita Harian, dan agensi berita nasional Bernama.

Mereka memilih menerbitkan kenyataan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, dan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa.

Berita Harian mengabungkan reaksi daripada tiga pemimpin itu dalam satu artikel dan hanya di penghujung berita mereka menyelitkan tuntutan saman berkenaan.

Bernama pula melaporkan Salleh menyifatkan saman Dr Mahathir itu sebagai tindakan terdesak dan Annuar berkata ia bukti bekas perdana menteri itu telah gagal untuk menjatuhkan Najib melalui saluran politik.

NST, bagaimanapun, memberi tumpuan kepada Nur Jazlan, yang berkata Mahathir tidak mempunyai locus standi untuk menyaman perdana menteri.

Sebahagian besar akhbar lain, termasuk yang berbahasa Cina menyiarkan berita ringkas mengenai saman Mahathir terhadap Najib itu.

Malah, akhbar milik Umno, Utusan Malaysia juga mempunyai artikel kecil berhubung tuntutan mahkamah itu.

Mahathir dan dua yang lain, semalam memfailkan saman terhadap Najib bagi kemungkiran kewajipan fidusiari dan salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Plaintif lain adalah bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Najib adalah defendan tunggal dalam tuntutan itu.

Ketiga-tiga plaintif adalah sebahagian daripada gerakan Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Najib melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam dan tort kemungkiran fidusiari dengan menyalah-gunakan kedudukannya.

Menurut mereka, Najib sebagai perdana menteri, pengerusi BN, presiden Umno dengan niat jahat dan mala fide menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan dan inkuiri berhubung skandal 1MDB berserta kemasukan dana dalam anggaran AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi banknya.

Mereka juga memohon perisytiharan yang sama di mana Najib menyalah-gunakan kedudukan beliau untuk mengambil tindakan terhadap Anina dan Khairuddin.

Mereka juga menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta.


Tiada ulasan: