PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
berhasrat untuk 'berdamai' dengan penyokong bola sepak negeri itu
selepas dilantik sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Langkah itu susulan sambutan 'dingin' penyokong skuad Helang Merah
terhadap Menteri Besar yang baharu dilantik itu khususnya ketika beliau
hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Darul Aman baru-baru ini.
Menurut sumber di Alor Star, Ahmad Bashah mahu KFA menjalinkan hubungan
baik dengan semua kelab penyokong yang aktif di negeri itu termasuk
Kelab Penyokong Kedah (Kepak) serta Ultras Kedah.
"Menteri Besar bersedia untuk memberi sokongan padu dan berhasrat untuk bekerjasama dengan semua kelab penyokong di Kedah.
"Tapi beliau meletakkan syarat supaya mereka mendaftar sebagai satu
kelab yang sah," kata sumber itu kepada mStar Online di sini, Rabu.
Difahamkan Ahmad Bashah sedia mengeluarkan peruntukan kewangan melalui
KFA supaya kelab penyokong Helang Merah itu bergerak dengan lebih
sistematik dan terkawal.
Menurut sumber itu lagi, selain bantuan kewangan, KFA juga sedang
mempertimbang untuk untuk menyediakan bas bagi kegunaan kelab penyokong
ketika pasukan Kedah beraksi di luar Stadium Darul Aman.
KFA akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Khamis di
Wisma Darul Aman bagi melantik Ahmad Bashah sebagai presiden.
Pada 1 Mac lalu, Ahmad Bashah dimalukan apabila segelintir penyokong
Kedah bertindak menyorak 'boo' ketika namanya disebut sewaktu hadir
menyaksikan perlawanan Liga Super antara pasukan Kedah menentang
Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan