Ahad, 20 Mac 2016

Ahli Parlimen BN tak berani bersemuka, Guan Eng bawa media masuk rumahnya

LGE rumah

Roketkini.com


GEORGE TOWN: Meskipun telah dijemput, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya hari ini gagal hadir untuk bersemuka dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung tuduhan fitnah rasuah yang dilemparkan.

Kesal dengan Ahli Parlimen BN itu, Guan Eng dalam sidang media di sini hari ini berkata, tindakan Shabudin tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab dan bermoral seorang pemimpin.

“Malangnya Datuk Shabudin telah undur lebih dahulu dan lari daripada peluang yang diberikan untuk membuktikan tuduhan rasuah terhadap saya bukanlah berunsur fitnah.

“Ini tidak adil terhadap saya sebagai mangsa fitnah jahat ini,” katanya.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, tindakan Shabudin itu seolah-olah baling batu sembunyi tangan dan mencabar beliau mengulangi tuduhan yang sama di luar Parlimen.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia, seorang Ketua Menteri bersedia bersemuka dengan seorang ahli Parlimen parti lawan yang menuduhnya, semata-mata untuk mencari kebenaran.

“Kita harus berani kerana benar. Saya tidak nampak mana-mana pemimpin BN baik Menteri maupun Menteri Besar berani berbuat demikian,” ujar Guan Eng.

Pihak media juga dijemput masuk ke dalam rumah Ketua Menteri Pulau Pinang yang menjadi topik dalam isu tersebut.

“Saya tidak tahu adakah ini akan menjadi amalan Ketua Menteri (atau Menteri Besar/Menteri) lain, adakah mereka akan menjadi telus atau tidak?

“Ini adalah rumah biasa, adakah mereka akan terus membuat tuduhan? Tapi biar rakyat tentukan, apakah bentuk rumah-rumah menteri atau ketua menteri lain.

“Sebab itu saya nak ucap terima kasih kepada isteri saya yang sudi untuk buka rumah supaya dapat lihat, tak ada apa yang luar biasa dan saya ingat sungguhpun mahu mengekalkan kawasan peribadi dan keluarga, tapi beliau membenarkan untuk anda lihat rumah ini sendiri,” kata beliau.

Pada 17 Mac 2016, Datuk Shabudin Yahaya telah membuat tuduhan fitnah di dalam Parlimen menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang itu terlibat dalam amalan rasuah berkaitan pembelian rumahnya yang berusia 30 tahun.

Tuduhan fitnah itu melibatkan penjualan sebidang tanah kerajaan negeri di Taman Manggis.

Shabudin cuba membangkitkan tuduhan rasuah terhadap Guan Eng seolah-olah mengaturkan penjualan tanah kerajaan dengan harga murah supaya beliau dapat membeli rumahnya dengan harga rendah.
Namun, tuduhan itu adalah fitnah semata-mata dan tidak berasas sama sekali kerana:

1.     Pembelian rumah sebanyak RM2.8 juta dibiayai oleh pinjaman bank sebanyak RM2.1 juta dan baki wang tunai RM700,000 daripada elaun pendapatan Guan Eng sebagai Ketua Menteri dan wakil rakyat;

2.     Penjualan tanah kerajaan negeri dijalankan dengan tender terbuka dan pembeli dipilih berdasarkan tawaran harga yang paling tinggi;

3.     Jawatankuasa Tender Negeri tidak dipengerusikan oleh Ketua Menteri dan mematuhi semua peraturan kerajaan negeri yang ditetapkan.

4.     Penjual rumah kepada Ketua Menteri tidak terlibat dengan syarikat yang memenangi tender tanah kerajaan negeri, bukanlah pemegang saham ataupun ahli lembaga pengarah. Penjual rumah juga bukanlah pemaju perumahan.

5.     Ketua Bahagian UMNO Bagan Shaik Hussein Mydin pada 19 Ogos 2015 telah meminta maaf secara lisan kepada Lim Guan Eng di depan Hakim Mahkamah Tinggi sebanyak dua kali, dan menarik balik kenyataan fitnah di mahkamah bahawa beliau (Guan Eng) terima wang rasuah daripada pembeli tanah kerajaan negeri tersebut. – Roketkini.com


Tiada ulasan: