Selasa, 5 Januari 2016

Umno bukan lagi parti harapan Melayu



Oleh AZIZ MUDA

 
KUALA LUMPUR: Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional yang menerajui negara kini bukan lagi menjadi parti pergantungan orang Melayu, kecuali yang di hujung kampung terus memancing menggunakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sebaliknya realiti yang berlaku, rakyat Malaysia kini sudah cemuh dengan lagak sombong pemimpin-pemimpin parti itu dan kerajaan Umno-BN apabila berbicara soal rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, di bawah pemerintahan kerajaan Umno-BN kini, hala tuju negara semakin kabur dan hilang daya saing dengan negara jiran yang terus bergerak ke hadapan.

Menurut beliau, jauh lagi penjalanan untuk melihat pemulihan nilai Ringgit, manakala Wawasan 2020 yang hanya tinggal 4 tahun kini semakin mustahil dapat dicapai.

Katanya, kerajaan tidak perlu bermain dengan angka dan data yang boleh dimanipulasikan kerana hakikatnya, rakyat marhaen tidak berhajat kepada data yang sering dikeluarkan kerajaan.

“Yang mereka tahu dan rasa harga barangan semakin mahal. Duit ringgit yang ada di tangan semakin kurang sehingga terpaksa berhutang. Sayang wang derma saudagar Arab langsung tidak tiris kepada rakyat. Ia mungkin kekal dalam simpanan penama sahaja. Ke mana hidup mereka?” katanya.

Dalam kenyataannya 31 Disember lalu, Ustaz Tuan Ibrahim berkata, rakyat Malaysia melangkah masuk menghadapi tahun 2016 tanpa secebis harapan dan sinar mentari kegembiraan.

Menurutnya, negara melangkah ke tahun baru dalam suasana penuh suram, sehingga tiada sesuatu yang dapat dibanggakan atau memberi harapan perubahan kepada rakyat sama ada ekonomi, politik dan sosio budaya.

“Kemelut ekonomi yang menghimpit rakyat akan terus digendong ke tahun baru dengan kerajaan yang terus mengambil sikap “tidak apa”. Namun kita terpaksa hadapi jua,” ujarnya.

Akhir tahun, katanya, yang biasanya ada berita gembira bonus kepada kakitangan kerajaan, tetapi kini senyap sepi, tiada pihak sama ada kerajaan atau swasta yang ingin menceriakan keadaan, malah kebanyakannya melaporkan pengurangan hasil.

“Sebaliknya berita ribuan pekerja yang dibuang menjadi memori duka rakyat.

Seloka Pak Menteri hanya menambah kemarahan.

Peningkatan kos hidup hasil kegagalan pemerintah manfaatkan kekayaan negara untuk mengubah nasib rakyat. Kos pengangkutan yang sepatutnya semakin murah menjadi semakin mahal.

“Rumah semakin tidak mampu dimiliki. Harga kenderaan juga meningkat. Hutang seisi rumah semakin sarat dan dijangka menghampiri 90 peratus pada tahun 2016. Segala subsidi yang ditarik balik tidak digunakan untuk manfaat rakyat,” katanya.

Beliau amat kesal kerana yang dicipta oleh kerajaan ialah bebanan baru bernama 1MDB serta hutang negara yang mencecah lebih RM700 billion, malah dalam keadaan itu pun, dipercayai kerajaan tidak akan mengendahkan pandangan dan bantahan rakyat termasuklah perjanjian TPPA.

“Seorang ibu tua menghampiri saya dan terus menangis mengadu anaknya di Mesir menulis surat meminta wang belanja. Ke mana ia mahu mencari untuk anaknya.

“Getah tak sampai RM2.00 sekilo. Terpaksa pula berkongsi dengan tuan kebun. “Berapa ringgit yang dia dapat sebulan? Atas itulah beras, gula, susu, tepung, bil elektrik dan air, sewa rumah dan belanja anak ke sekolah perlu dibahagikan.

“Berulang kali ibu tua ini meluahkan rasa sedih dengan keadaan yang berlaku. Ibu tua itu bukan keseorangan. Ramai lagi yang sedang merana,” katanya.

Ustaz Tuan Ibrahim turut menceritakan kisah seorang pakcik yang baru balik umrah diterpa oleh sahabatnya di kedai dengan soalan sama, “Hang tak jumpa ke saudagar Arab tu, boleh minta sikit buat beli baju sekolah anak?”

Katanya, meskipun ia dalam keadaan jenaka, tetapi ia menonjolkan keperitan rakyat bawahan dan sememangnya itulah realiti di kampung selepas GST dilaksanakan, penarikan balik pelbagai subsidi dan kejatuhan nilai Ringgit, sehingga rakyat amat terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Bagi peneroka, saham Felda kini sudah jadi bebanan bagi peneroka.

Harga sawit dan getah tidak naik-naik. Perbelanjaan persekolahan anak-anak pula semakin mahal. Anakanak terus meminta wang belanja persekolahan,” ujar beliau.

Tiada ulasan: