Ahad, 3 Januari 2016

TRANSFORMASI UNTUK PENIAGA BANYAK HUTANG

shahbudindotcom


Cara 1MDB menyelesaikan hutangnya dengan menjual tanah kepada pihak asing secara tidak langsung boleh dianggap suatu lagi transformasi bernilai tinggi yang cuba diperkenalkan oleh Najib Razak dalam memimpin negara.

Ia seperti memberi isyarat bahawa mana-mana syarikat atau ahli perniagaan yang banyak hutang, boleh dengan segera memohon tanah-tanah kerajaan yang akan diberikan dengan harga paling murah untuk melangsaikan beban tanggungan mereka.

Oleh kerana ini merupakan suatu lagi transformasi yang cuba diperkenalkan Najib, maka menjadi tanggungjawab kerajaan-kerajaan negeri sama menyahutnya dengan turut memberi kelulusan tanah kepada syarikat dan ahli perniagaan yang bermasalah dan banyak hutang.

Dengan ini semua tanah-tanah yang bernilai tinggi atau yang terletak di tengah-tengah bandar sepatutnya segera digazetkan untuk program transformasi kerajaan membantu syarikat atau ahli perniagaan yang terbeban dengan hutang yang banyak itu.

Sebaik saja kelulusan tanah diperolehi, apa yang perlu dilakukan oleh syarikat atau ahli perniagaan yang memperolehinya ialah mengemukakan cadangan pembangunan yang menarik dan kemudian segera mencari pembeli atau pelabur asing untuk membelinya.

Jangan cari pelabur dalam negara kerana tidak banyak syarikat tempatan yang ada banyak duit ketika ini. Sebaiknya carilah pembeli dari Singapura, China atau mana-mana negara Arab yang banyak wang.

Jangan juga tanah itu diusahakan sendiri kerana ia tidak menunjukkan jiwa global dalam perniagaan.

Kemudian juallah sama ada 60 peratus, 70 peratus atau kalau harganya terlalu menarik, jangan dilepaskan peluang menjual 100 peratus atau semuanya sekali kepada syarikat asing itu.

Jangan hiraukan jika ada kritikan yang mengatakan penjualan kepada pihak asing itu suatu perbuatan aniaya kepada bangsa dan negara sendiri atau mungkin kemudian menyebabkan lebih ramai rakyat negara asing berhijrah ke sini.

Fikirkan hanya tentang wang dan agar hutang boleh diselesaikan dengan segera.

Dengan sekian banyak wang yang diperolehi itu, bayarlah segala hutang bertimbun yang ada yang mungkin kerana hutang keliling pinggang itulah menyebabkan mereka turut dipandang serong oleh masyarakat sekeliling selama ini.

Selepas hutang-hutang dibayar, sebagai meraikan kejayaan mengorak langkah menarik minat syarikat asing membeli tanah atau syarikat itu, bawalah isteri dan anak berjalan-jalan makan angin mengelilingi dunia.

Pilihlah mana saja - New York, London, Dubai, Hong Kong dan sebagainya.

Setelah puas bershopping, mencuci mata, mengelilingi dunia dan sebelum kembali ke rumah sendiri, jangan lupa singgah ke suatu tempat yang amat penting ini - Mekah dan Madinah.

Buatlah umrah sebelum pulang ke tanahair. Kalau ada Facebook atau masuk mana-mana grup Whatsapp, layangkanlah sekeping dua gambar sedang menunaikan umrah atau ketika memakai jubah di kota suci Mekah itu.

Jika ada lebihan wang setelah ditolak membayar hutang tadi, belilah sedikit buah tangan berupa kurma, jubah, sejadah dan tasbih untuk diberikan kepada kawan atau rakan, orang surau, orang kampung atau mereka yang rapat sebagai tanda kenang-kenangan.

Sekembalinya ke tanahair pula, teruslah berjubah dalam seminggu dua dan dalam masa yang sama rajin-rajinlah juga bersolat jemaah di surau atau masjid.

Secara perlahan-lahan, percayalah, semuanya akan dilupakan. Orang tidak akan menyebut lagi bahawa hutang perniagaannya selama ini  kerana banyak bersukaria dan berfoya-foya.

Bagaimana syarikatnya diuruskan, wang syarikat dibelanjakan dan tanah pemberikan kerajaan yang diperolehi dengan harga murah dijual kepada syarikat negara asing juga akan turut dilupakan dan tidak disebut lagi.

Yang lebih disebut akhirnya ialah pemergian ahli perniagaan itu  menunaikan umrah, jubah yang dipakainya serta buah tangan yang dibelinya di Mekah. Semua yang buruk dan kepincangan selama ini seolah-olah telah dicuci dengan mengerjakan umrah tadi.

Ya, begitulah selalunya...


Tiada ulasan: